IPOH: Seorang anak pada Khamis
mendakwa tindakan tergesa-gesa seorang pelatih perubatan di sebuah hospital di
sini mencabut beberapa wayar termasuk wayar ECG pada badan ibunya telah
menyebabkan ibunya meninggal dunia.
Dakwaan itu dibuat Wong Kok Yew, 48,
berhubung kematian ibunya Agnes Liu Soo Thye, 76, yang dimasukkan ke hospital
berkenaan kira-kira pukul 9 malam pada 15 Mac lalu akibat jangkitan paru-paru
bernanah. Ibunya meninggal keesokan harinya.
"Kira-kira pukul 5 pagi, seorang
daripada empat pelatih yang datang ke katil ibu saya telah mencabut beberapa
wayar dalam keadaan kelam-kabut. Ibu saya yang sedang lena ketika itu terkejut
dan badannya menggigil kerana menahan kesakitan.
Beliau mendakwa pelatih berkenaan mencabut
wayar ibunya kerana pesakit di katil sebelah ibunya berada dalam keadaan
kecemasan dan memerlukan wayar tersebut.
"Ibu saya sudah tua dan
mempunyai kulit nipis dan sensitif, sudah tentu dia terkejut apabila wayar pada
badannya ditarik secara kasar.
"Saya juga tidak berpuas hati
dengan cara mereka mengambil sampel darah ibu saya sehingga menyebabkan dia
menjerit kesakitan," katanya.
Wong berkata beliau telah meminta
penjelasan daripada pihak hospital berkenaan namun tidak mendapat maklum balas.
Pengerusi pusat khidmat berkenaan,
Mohd Rawi Abdullah berkata pihaknya juga menghantar surat kepada pihak hospital
untuk meminta penjelasan"Pihak kami banyak menerima aduan berkaitan
perkhidmatan tidak memuaskan hospital itu termasuk layanan kasar kepada pesakit,"
katanya.