Translate

24/05/2014

PAS dan DAP berpura-pura ikhlas bekerjasama selama ini



Salahuddin seolah-olah mengatakan bahawa PAS tahu DAP tidak faham dan tidak jujur menerima PAS se-adanya. Begitu juga PAS. Ia sedar DAP memusuhi perjuangannya. Namun buat masa ini atas dasar mahu mencatat kemenangan politik, kedua-duanya sedia berpura-pura bekerjasama. 

Persoalannya, jika kedua-dua parti itu sedar bahawa rakan atau saingan politik mereka sentiasa “tidak serasi dan tidak selesa” dengan matlamat perjuangan regunya itu, sudah pasti apabila menghampiri hujung garisan, masing-masing menyimpan strategi “memastikan” objektif rakan kongsi itu tidak jadi realiti.

Itu lumrah politik. Ia membabitkan kuasa dan kedua-dua pihak pasti tidak mahu membiarkan saingannya merangkul kuasa yang boleh menjejaskan matlamat perjuangan mereka sendiri. Apabila perselisihan terserlah setelah ada kuasa, akibatnya pasti kemusnahan.

Lantas, hipokrasi ini akan membarakan satu pertembungan yang sengit di masa hadapan. Ahli dan penyokong kedua-dua belah pihak ternyata mempunyai profil perkauman, keagamaan dan kepentingan yang berbeza. 

Hubungan tidak jujur ini ibarat “pinggan nan retak menanti belah”. Amat ngeri difikirkan betapa pertembungan ideologi ini akan memporak-perandakan masyarakat dan menjejaskan keselamatan negara. 

Sebenarnya memendam kecurigaan ini adalah satu kecurangan yang besar dilakukan oleh PAS dan DAP. Bidang perjuangan kepentingan bersama di antara kedua-duanya, bersifat materi – keuntungan ekonomi dan kemenangan yang berpelurukan kebencian – terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional. 

Namun pada jiwa setiap pihak disematkan persediaan untuk bertempur secara ideologi – “sejak hari pertama kita kenal, mereka memang tidak pernah sokong hudud” dan “juga tidak akan menjejaskan usaha PAS untuk terus perjuangkan hudud”. 

Kenyataan Salahuddin adalah janji kepada ahli-ahli PAS bahawa pimpinan parti itu tidak akan berkompromi dalam soal dasar perjuangannya dalam menghadapi satu golongan seperti DAP yang “memang tidak pernah sokong hudud”.

Anehnya, sebagai parti yang mendakwa mahu menurut perjuangan Rasulullah s.a.w. mengapakah PAS tidak menolak kompromi tidak jujur ini bak sabda Rasulullah s.a.w., “meskipun diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku nescaya aku tidak akan meninggalkan agamaku walau aku musnah kerananya”.

Mengapakah PAS sanggup mempamerkan gambaran bahawa kerjasamanya dengan DAP seolah-olah sesuatu yang suci walhal PAS tahu bahawa DAP tidak akan berhenti membenci matlamat perjuangan?

Ingat pesan Rasulullah s.a.w., “yang halal itu jelas dan yang haram pun jelas. Di antaranya ialah syubahat. Tinggalkanlah syubahat”. Bilakah PAS mahu berhenti bersubahat dalam pakatan politik yang telah banyak merobek perpaduan umat?

Sumber:antarapos

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...