MH370: Bukan mudah kelola SAR berskala besar
SEPANG 30 Mac - Hubungan baik Malaysia dengan negara lain telah menyumbang kepada bantuan antarabangsa yang dihulur dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri menegaskan bukanlah tugas mudah untuk menghimpunkan 26 negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran itu sekiranya Kuala Lumpur tidak mewujudkan hubungan rapat dengan ibu negara lain.
"Masyarakat perlu menyedari bahawa menjadi tugas yang besar untuk melibatkan begitu banyak negara dalam satu operasi besar-besaran. Perkara ini tidak akan berlaku jika Malaysia tidak mempunyai hubungan akrab dengan banyak negara," kata Najib.
Najib berkata, Malaysia amat menghargai semua sokongan dan bantuan yang dihulur negara terbabit dalam pencarian pesawat Boeing 777-200ER yang hilang daripada paparan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - BERNAMA