Translate

08/02/2014

TINDAKAN YANG TEPAT MENGGANTIKAN PENGAWAL KESELAMATAN DENGAN POLIS BANTUAN


PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan khidmat pengawal keselamatan di semua pejabat kerajaan digantikan dengan khidmat polis bantuan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sambil berharap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menimbangkan cadangan itu, beliau berkata langkah itu wajar terutama di pusat pentadbiran Putrajaya yang turut menempatkan pejabat menteri yang menyimpan banyak dokumen rahsia kerajaan.

"Saya risau jika pengawal keselamatan di 'outsource', mereka akan mempunyai kunci pendua pejabat dan pelbagai perkara boleh dilakukan oleh mereka, oleh (itu) kita mahu pastikan perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku," katanya.

Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di sini hari ini.
Katanya beliau turut mengusulkan cadangan kepada anggota Kabinet agar syarikat-syarikat keselamatan diambil alih oleh kerajaan agar kakitangannya  dapat dilatih sebagai polis bantuan.

Beliau turut meminta syarikat keselamatan lebih bertanggungjawab dalam pengambilan pengawal keselamatan supaya kejadian rompakan dan menembak mati pegawai bank di Ambank, Subang Jaya baru-baru ini melibatkan pengawal keselamatan bank itu sendiri tidak berulang.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan memberitahu pihaknya telah memberi satu taklimat kepada Brunei Investment Agency mengenai pelan pembangunan di Kampung Baru di Kuala Lumpur.

"Kita juga telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru untuk menghantar satu pasukan ke Brunei bagi berbincang dengan pihak mereka untuk bersama-sama membangunkan kampung tersebut," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan turut memaklumkan dua lokasi di Putrajaya telah dikenal pasti menjadi tempat saki-baki kumpulan Al-Arqam menyebarkan ajaran mereka.

"Dua tempat tersebut ialah di klinik dan surau yang kini sedang dipantau oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan saya menyarankan agar orang ramai berhati-hati dengan aktviti penyebaran ajaran sesat itu," katanya.

Mengenai kadar baharu cukai pintu di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata satu mesyuarat akan diadakan esok dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Thalib dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan akan memastikan kadar baharu tersebut tidak membebankan rakyat dan adil kepada pemilik hartanah. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...