Tiga Anggota Polis Didakwa Peras Pekerja Swasta
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Tiga anggota polis mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Selasa terhadap pertuduhan memeras tiga
pekerja syarikat swasta, minggu lepas.
Mereka ialah Konstabel Mohamad Salman Malzuki, 27, Konstabel Mohamad Fadir
Manaf, 32, dan anggota polis bantuan, Wan Mohamad Saiful Firdaus Wan Azmin, 31.
Kesemua tertuduh, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa
melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Emelda Sudirman, 33,
Mohd Nadzri Abu Hassan Saari, 34, dan Mohd Hafiz Abu Hanifah, 29, bahawa mereka
akan ditangkap polis kerana rumah mereka disyaki 'sarang' dadah.
Perbuatan itu mendorong Mohd Hafiz menyerahkan wang tunai RM20 kepada
Wan Mohamad Saiful Firdaus di Rumah Pam Syabas, Jalan Dutamas 4, Sentul di sini
pada 9.30 malam, 13 Jan lepas.
Kesemua tertuduh yang bertugas di Balai Polis Jinjang, didakwa mengikut
Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau
denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor membenarkan setiap tertuduh
diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Feb depan untuk
sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Nithia manakala kesemua
tertuduh tidak diwakili peguam.