Jumaat, 31 Januari 2014

DAFTAR SEGERA...JANGAN KETINGGALAN KELAS PULAK !!!


Buka kelas untuk beruk

MARANG - Seorang warga emas di Kampung Jenang, dekat sini telah melatih lebih 500 beruk liar menjadi pemetik kelapa sepanjang hampir 50 tahun membuka kelas mengajar haiwan tersebut.

Muda Mamat, 82, dikenali sebagai Pak Muda dalam kalangan penduduk setempat berkata, dia tidak mempelajari ilmu mengajar beruk daripada seseorang, sebaliknya daripada pengamatan dan pengalaman sendiri bermula sejak umurnya 30 tahun.

Sebagai permulaan, katanya, haiwan tersebut perlu dijinakkan terlebih dahulu dengan cara mengusap kepalanya setiap hari sebelum memulakan sesi latihan, iaitu memetik setandan kelapa di atas tanah dan memanjat pokok.

Menurutnya, dengan menggunakan perkataan tertentu juga, beruk yang dilatih akan mengikut setiap apa yang disuruh sepanjang menjalani latihan memetik setandan kelapa di atas tanah atau digantung pada kayu rendah.

“Sepanjang tempoh melatih haiwan ini kurang sebulan, Pak Muda juga akan menggunakan perkataan tertentu dan mudah difahami haiwan itu seperti ‘pulah’ (pulas), muda (kelapa muda) dan kering (kelapa tua) serta maghi (mari),” katanya.

Muda berkata, dia memperuntukkan kira-kira empat jam sehari bagi melatih haiwan itu dan tidak mengenakan bayaran secara tetap, sebaliknya terpulang kepada pemilik haiwan berkenaan untuk memberi sagu hati atas pertolongan yang diberikan.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, setiap beruk yang dihantar kepadanya akan dilatih sehingga mahir sebelum diserahkan semula kepada pemiliknya.

“Setiap beruk terlatih mampu memetik kira-kira 500 biji kelapa setiap hari,” katanya yang kini tidak lagi melatih haiwan itu kerana faktor kesihatan.

Sementara itu, bagi seorang pemilik beruk di kampung berdekatan, Mat Yusof Mamat, 50, kebolehan Pak Muda mengajar beruk amat dikagumi masyarakat setempat malah, dia turut menjadi pilihan pemilik haiwan itu dari luar Terengganu.

“Tidak semua orang mampu melatih beruk sepertinya, malah tiada mana-mana individu yang mampu untuk menggantikan tempatnya sehingga kini. Selepas Pak Muda berhenti, ramai yang hantar beruk mereka ke Kelantan untuk dilatih,” katanya.

Sumber:sinarharian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...