Translate

26/12/2013

TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL KEPADA PENGKHIANAT NEGARA

Mereka yang terlibat perlu diambil tindakan yg lebih serious

Lagi bantahan himpunan 31 Disember, desak polis ambil tindakan awal

Sebuah gabungan di daerah ini hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang merancang mengadakan Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember ini.
Gabungan itu terdiri daripada Pemuda Umno Pekan, anggota jawatankuasa kemajuan dan kemajuan kampung (JKKK), persatuan pesara, bekas tentera dan polis, ibu tunggal, persatuan peladang dan nelayan, Belia 4B, Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).
Wakil mereka yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Pekan, Asmayudim Uyub berkata mereka bimbang tanpa tindakan awal himpunan itu akan menimbulkan kejadian tidak diingini.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih berdasarkan demokrasi dan mengikut undang-undang serta perlembagaan negara," katanya kepada pemberita di Pekan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Pekan,  Lt Kol(B) Zulkiffly Mohd Tahir berkata tindakan tegas bukan sahaja perlu diambil ke atas penganjur tetapi juga penulis blog serta laman sosial yang mempromosikan himpunan haram tersebut.
Menurutnya, PBTM Pekan menyokong sepenuhnya sebarang tindakan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 diambil ke atas mereka yang terlibat.
Sementara itu di Hulu Terengganu, 30 belia dari Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu serta lima badan bukan kerajaan (NGO) membuat enam laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu, berhubung perhimpunan tersebut.
Wakil mereka Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu Nik Azman Nik Abdul Razak berkata mereka mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang merancang perhimpunan itu.
"Himpunan itu juga bakal merosakkan belia negara dan kami menentang sekeras-kerasnya himpunan itu, malah kami sangat menyokong apa-apa tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa," katanya kepada Bernama, di sini.
Selain Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu, turut membuat laporan polis hari ini ialah Belia 4B, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Pengakap, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Belia Felda Hulu Terengganu.
Di Kota Baharu, dua badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan agama iaitu Minda Pondok dan Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan membantah usaha mengadakan perhimpunan haram itu.
Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok Mohd Syamsul Mohd Yusoff berkata Islam melarang umatnya menjatuhkan kerajaan melalui cara kekerasan setelah kerajaan itu dipilih rakyat melalui pilihan raya yang sah.
"Jika kita lihat daripada sudut agama, adalah haram menjatuhkan kerajaan yang sedia ada manakala dari sudut akhlak dan moral pula, tidak elok mengadakan perhimpunan haram kerana ia hanya mendatangkan keburukan.
"Kerajaan sekarang ini telah diiktiraf (menerusi pilihan raya) dan kita tengok cara kepimpinan yang ada sekarang menggunakan sistem demokrasi...semua pihak bersetuju dan kerajaan sekarang ini tidak boleh dipertikai lagi," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Sementara itu, aktivis Ikatan Cendekawan Islam Kelantan Mohd Zawawi Awang menggesa masyarakat supaya tidak terjebak dalam perhimpunan haram.
"Kita lihat ada seruan ke arah menjatuhkan kerajaan secara anarki iaitu secara ganas dan pendekatan ini hanya menyebabkan keadaan huru-hara berlaku dalam negara kita.
"Malaysia adalah negara demokrasi berparlimen dan jika tidak berpuas hati ada saluran yang boleh digunakan. Kami  berharap pihak berkuasa akan memerangi kumpulan ini," tegasnya. - Bernama, 25 Disember, 2013.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...