Rabu, 25 Disember 2013

Doktor Dituduh Lagi Salahguna Harta Kerajaan

kolonel_perubatan_didakwa.jpg

SHAH ALAM, 20 Disember - Seorang doktor berpangkat Kolonel yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju dituduh di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah (4) hari ini kerana menyalahguna harta kerajaan.

Kolonel Dr. Kunaseegaran a/l Ragavanaidu, 50, Ketua Makmal Patologi HATTM, didakwa melakukan enam (6) kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan apabila menjadikan bagi kegunaan sendirinya harta kepunyaan HATTM iaitu sebuah alat Microtome berjenama Thermo Shandon Finesse E+ yang bernombor siri FN3097E0802 tanpa pengetahuan pemilik harta tersebut iaitu HATTM.

Pertuduhan kedua, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan apabila menjadikan bagi kegunaan sendirinya harta kepunyaan HATTM iaitu sebuah alat Microtome Rotary System berjenama Leica bernombor siri 050029802 tanpa pengetahuan pemilik harta tersebut iaitu HATTM.

Pertuduhan ketiga, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan apabila menjadikan bagi kegunaan sendirinya harta kepunyaan HATTM iaitu sebuah alat Circular Parafin Floating Bath berjenama Shandon bernombor siri 2-652-0140 tanpa pengetahuan pemilik harta-harta tersebut iaitu HATTM.

Bagi ketiga-tiga kesalahan tersebut, tertuduh didakwa berbuat demikian pada Jun 2010 ketika bekerja sebagai Pengarah Makmal di Clinipath (Malaysia) Sdn Bhd, Klang.

Pertuduhan keempat, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan apabila menjadikan bagi kegunaan sendirinya harta kepunyaan HATTM iaitu sebuah alat Microtome berjenama Thermo Shandon Finesse E+ yang bernombor siri FN3097E0802 tanpa pengetahuan pemilik harta-harta tersebut iaitu HATTM.

Pertuduhan kelima, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan apabila menjadikan bagi kegunaan sendirinya harta kepunyaan HATTM iaitu sebuah alat Microtome Rotary System berjenama Leica bernombor siri 050029802 tanpa pengetahuan pemilik harta-harta tersebut iaitu HATTM.

Pertuduhan keenam, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan apabila menjadikan bagi kegunaan sendirinya harta kepunyaan HATTM iaitu sebuah alat Circular Parafin Floating Bath berjenama Shandon bernombor siri 2-652-0140 tanpa pengetahuan pemilik harta-harta tersebut iaitu HATTM.

Bagi ketiga-tiga kesalahan tersebut, tertuduh didakwa berbuat demikian pada April 2012 ketika bekerja sebagai Pengarah Makmal di Genomed Sdn Bhd, Klang.

Tertuduh tidak mengaku bersalah bagi keenam-enam pertuduhan tersebut dan pohon untuk dibicarakan.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya Anthony Kevin Morais dan Azlin Sabtu manakala tertuduh diwakili peguambela Dato' Salehuddin Saidin, Geethan Ram Vincent dan Mohd Norazihan Adreen.

Hakim Mahkamah Khas Jenayah Rasuah (4), Y.A. Asmadi Husin menetapkan wang jaminan sebanyak RM 15,000.00 tanpa deposit serta 7 Januari 2014 sebagai tarikh pengurusan kes.

Sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda.

Beliau sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah   kerana melakukan dua kesalahan rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 membabitkan wang sejumlah RM 700,000.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...