Translate

08/12/2013

SIAPA YANG PATUT DIPERSALAHKAN ????


PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Kemudahan logistik yang terhad menjadi punca bantuan lambat disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa negeri yang dilanda banjir, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata kebanyakan bantuan yang lambat atau tidak sampai melibatkan kawasan yang terputus hubungan jalan raya.

"Kita ada minta bantuan bot serta helikopter dari Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, serta bomba namun mereka lebih memerlukannya untuk menyelamatkan nyawa," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, bantuan dapat disalurkan ke kawasan yang perhubungan jalan raya tidak terputus dan yakin semua mangsa banjir akan mendapat bantuan selepas kerja menyelamat selesai.

"Semalam saya turun padang di Kuantan, Pahang melawat mangsa banjir, ini adalah banjir yang terburuk, situasi sangat teruk dengan elektrik dan air tiada, jalan yang saya lalui pun sangat teruk," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Rohani berkata 97 peratus daripada 55,685 Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat sekolah merupakan OKU masalah pembelajaran manakala selebihnya adalah OKU fizikal.

Namun, beliau yakin jumlah sebenar adalah lebih besar namun tidak didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga anak istimewa berkenaan.

"Ibu bapa atau penjaga yang merasakan anak mereka OKU, pelajar yang lembap supaya membuat pemeriksaan di klinik berhampiran, sekurang-kurangnya jika dikesan mereka boleh mendapat kelebihan melalui kad OKU yang diberikan," katanya.

Beliau berkata kementerian juga telah membangunkan enam kategori taska kepada kanak-kanak OKU iaitu kepada OKU fizikal di Kota Kinabalu, Sabah, pendengaran di Puchong, Selangor, penglihatan (Pulau Pinang), Sindrome Down (Presint 11, Putrajaya), Autisme (Sibu, Sarawak) dan masalah pembelajaran (Ipoh, Perak). BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...