Jumaat, 8 November 2013

APMM ada Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah !!!

Organisasi yang begitu lengkap perlu mempertingkatkan lagi keberkesanannya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, terutamanya kes-kes penyeludupan, pencerobohan nelayan warga asing dan lain2 kesalahan yang melibatkan keselamatan diperairan Malaysia.

KUALA LUMPUR: Operasi rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa dipertingkat bagi mengesan kegiatan jenayah maritim termasuk penggunaan lesen pengusaha bot nelayan tempatan oleh nelayan asing.
Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata, tumpuan turut diberikan terhadap kegiatan penggunaan pukat tunda ganding oleh nelayan asing sehingga merosakkan hidupan laut. 
"Penggunaan lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang digunakan oleh nelayan asing merupakan satu kesalahan dan perlu dibanteras, begitu juga dengan penggunaan pukat tunda ganding (diharamkan di Malaysia). 

"Kita lakukan pemeriksaan di laut sama ada kapal-kapal kita disewa atau dipajak (kepada nelayan asing)," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penyalahgunaan lesen bot tempatan oleh pemilik yang memajak kepada nelayan warga asing.

Menteri itu menegaskan tindakan pembatalan lesen serta merta boleh dikenakan dan bot yang terlibat dilarang untuk digunakan semula. 
Zulkifili berkata rondaan turut dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui Swasla (Radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia) yang boleh mengesan pergerakan mencurigakan seperti pengunaan pukat tunda ganding di laut. 
Katanya dari Januari hingga hingga 22 Okt tahun ini, sebanyak 23,181 pemeriksaan telah dijalankan dengan 576 tangkapan telah dibuat membabitkan pelbagai kesalahan jenayah maritim termasuk penyeludupan rokok, barang kawalan, penghijrah, rompakan di laut dan pencerobohan bot nelayan asing. 

Beliau bagaimanapun berkata, APMM hanya menjalankan penguatkuasaan di laut namun dari segi dokumentasi atau perolehan lesen adalah di bawah Jabatan Perikanan Malaysia. 

Zulkifili berkata tindakan tegas akan diambil terhadap anggota APMM yang didapati melepaskan nelayan asing yang menggunakan lesen bot nelayan tempatan. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...