KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Kastam 1967 mungkin akan dipertimbangkan
bagi mengenakan hukuman penjara mandatori atas kesalahan menyeludup dan
penjualan rokok seludup.
Hukuman yang lebih berat itu, adalah antara cadangan Kastam Diraja
Malaysia bagi menangani aktiviti penyeludupan rokok yang dilapor menyebabkan
negara kerugian kira-kira RM1.9 bilion cukai, tahun lepas.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata turut
dicadangkan ialah pelaksanaan Program Transformasi Penguatkuasaan (PTP) iaitu
rondaan mesra, pejabat kastam bergerak dan Sahabat Kastam bertujuan
meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan membanteras barang
seludup.
"Turut akan diwujudkan
ialah sistem pengurusan risiko komprehensif - National Targeting Canter (NTC) -
yang akan dimasukkan ke dalam sistem U-Customs yang sedang dibangunkan oleh
jabatan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini dilaporkan Malaysia dianggar kehilangan hasil cukai
sebanyak RM1.9 bilion tahun lepas akibat penggunaan rokok tidak sah dan
kegiatan penyeludupan.
Anggaran itu terkandung dalam laporan yang disediakan bersama-sama
International Tax and Investment Center (ITIC) dan Oxford Economics yang
dikeluarkan dua hari lepas. - Bernama