Translate

28/03/2013

Kadar Jenayah Perlu Terus Diturunkan mengikut SOP yang ditetapkan

KUALA LUMPUR: Walaupun kadar jenayah telah menurun 27 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan kadar jenayah itu terus menurun.
Beliau menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan pelbagai transformasi termasuk memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi.
"Sudah pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa perubahan dalam sekelip mata, ia memerlukan masa serta fokus untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan polis," katanya dalam entri terbaru bertajuk 'Pasukan Polis Moden Yang Membanggakan Kita' di laman blognya.
Perdana Menteri menegaskan PDRM akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat untuk mencapai matlamat memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat dan bahagia menerusi pelbagai perubahan serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional.
"Saya harap setiap apa yang dirancang untuk masa depan negara dapat dicapai dengan sokongan terus menerus anda semua," katanya.
Dalam pada itu, Najib mengakui beliau sentiasa kagum dengan semangat warga polis selama ini.
"Membesar bersama ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa membuatkan saya sedar dan hargai perjuangan mereka dalam mempertahankan keamanan negara.
"Sejak zaman darurat sehinggalah insiden 13 Mei, mereka sentiasa menjadi benteng keselamatan kepada kita semua," tegas beliau.
Merujuk sambutan Hari Polis ke-206, Isnin lepas, Najib berkata rakyat sekali lagi bangga melihat semangat juang anggota keselamatan yang bertugas dalam Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.
"Kita juga kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara. Saya harap perjuangan mereka ini sentiasa dikenang setiap rakyat," katanya.
Najib telah mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)supaya kestabilan dan keselamatan di Sabah terus terpelihara.
"Menerusi inisiatif ini, kerajaan juga akan pastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak digugat di kawasan terbabit," tambahnya. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...