Sekumpulan 20 individu yang mendakwa ahli Pas kawasan Binjal hari ini mengadakan demonstrasi bagi menyatakan bantahan terhadap kepemimpinan pakatan pembangkang yang bersetuju dengan cadangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Perhimpunan aman yang diadakan di hadapan Masjid Muhammadi di sini itu berlangsung kira-kira 15 minit dengan para peserta membawa beberapa poster mengecam kepimpinan dalam pakatan pembangkang termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
''Jika dahulu Pas sangat mementingkan perjuangan Islam namun sejak bersekongkol dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang, parti itu kini lebih mementingkan undi sehingga sanggup menggadaikan kesucian agama Islam,'' katanya ketika ditemui selepas perhimpunan itu.
Menurutnya, Pas kini sanggup bersama DAP dan PKR mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu walaupun tindakan itu sangat jelas bertentangan dengan agama Islam.
Seorang lagi ahli Pas, Mutalib Ismail berkata, pemimpin Pas tidak seharusnya mengikut rentak kepimpinan pembangkang yang lain tetapi perlu menghormati keputusan Majlis Syura Ulama yang memutuskan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam.
Katanya, Pas perlu sedar DAP dan PKR langsung tidak menghormati mereka dan hanya memperkudakan ahlinya sebagai petugas ketika pilihan raya.
''Sekiranya PKR dan DAP menghormati kami, sudah pasti mereka tidak membangkitkan isu kalimah Allah," katanya.
Seorang lagi ahli Pas, Azhar Yussof pula berkata, sudah lebih setengah abad Pas berdiri di atas kaki sendiri dan kerjasama dengan DAP dan PKR tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada parti itu.
"Isu kalimah Allah sangat penting dan kami begitu terasa jika terus dipermainkan,'' katanya.
Menurutnya, selama ini Pas boleh menang dalam pilihan raya walaupun tanpa kerjasama PKR dan DAP.
''Kalah menang itu perkara biasa namun jangan sesekali menggadaikan Islam demi meraih undi," katanya.