Ahad, 24 Februari 2013

KUASA DAN MENGUMPUL KEKAYAAN ITULAH NIAT PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Pemimpin parti dalam pakatan pembangkang kini lebih berminat mengejar kuasa dan jawatan daripada mementingkan kesejahteraan rakyat, dakwa seorang bekas pemimpin DAP hari ini.

Bekas Ketua DAP Cawangan Pantai Sepang Putra, Sepang R.Vellasamy berkata keadaan itu jelas apabila tiada kesepakatan di kalangan pemimpin DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS dan dalam soal pembahagian kerusi seperti yang berlaku di Johor sungguhpun pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada bila-bila masa.

"Ini menggambarkan sikap mereka yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata di negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang, kepimpinan kerajaan negeri hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata dan tidak menghiraukan kehendak rakyat.

Malahan, katanya banyak janji yang dibuat dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya unmum lepas gagal ditunaikan sehingga rakyat terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah.

Sementara itu bekas Ketua Ranting PKR Sepang Selatan Mahful Wahid berkata pergolakan yang berlaku itu menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan pakatan pembangkang.

Katanya rakyat kini sudah bijak menilai kelemahan pakatan pembangkang yang tidak mampu menyelesaikan masalah dengan baik biarpun masalah kecil yang hanya melibatkan hal dalaman parti.

"Kalau kita lihat pergolakan sekarang rakyat sudah tidak percaya dan bosan dengan pergolakan yang berlaku dalam pakatan rakyat manakala janji yang mereka taburkan hanya tinggal janji," katanya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...