Translate

23/02/2013

Binatang & BR1M - Ularmak akhir zaman.

Ularmak akhir zaman

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.


Beliau turut mempersoal kenyataan itu yang tidak konsisten memandangkan pakatan pembangkang terutamanya di Selangor turut menjanjikan beberapa perkara yang bersifat kewangan.

"Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?.

"Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji...janji itu pula tidak ditunaikan,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di sini, hari ini.


Najib mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas itu yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Mengulas lanjut, Najib berkata amalan memberi bantuan kepada rakyat sudah lama dilaksanakan kerajaan secara subsidi tidak langsung, manakala BR1M bersifat lebih fokus kepada kumpulan sasaran.

"Setiap tahun kerajaan belanja lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi, kita beri dalam bentuk subsidi secara tidak langsung ...orang tak layak seperti orang kaya pun terima dan berlakunya ketirisan seperti penyeludupan serta penjualan diesel di luar sempadan dan sebagainya.

"Jadi kita pilih beri subsidi diesel secara lebih fokus lagi, dan cara lebih fokus ini termasuk BR1M dimana kita tentukan mereka betul-betul layak mengikut tafsiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya mereka akan terima bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan melihat BR1M bukan sahaja bantuan kepada rakyat, tetapi turut akan mempergiatkan kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.

"Bantuan kewangan ini akan cetus kegiatan ekonomi di kawasan tempatan, ia beri pekedai serta peruncit manfaat dan rakyat (penerima) sendiri punya kuasa untuk tentukan cara untuk belanjakan duit itu.

"Jadi ini tidak ada bezanya dengan amalan di sesetengah negara lain seperti Singapura dimana mereka kreditkan kepada akaun CPF untuk bantu rakyat, di Indonesia pun ada juga pemberian secara langsung kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan penerima BR1M dengan haiwan, sebagai menghina rakyat yang memerlukan bantuan.


“Saya hairan dan takjub bagaimana seorang menteri besar dan pemimpin Pas yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu jumlahnya amat ramai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pilihan raya umum (PRU) ke-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.

Baru-baru ini, Nik Aziz berkata, pemberian BR1M tersebut mendapat sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.” 

Muhyiddin sedih golongan kurang mampu dipandang hina dan diperkecilkan oleh pemimpin Pas itu.

“Ini sesuatu (kenyataan) yang tidak harus keluar daripada (mulut) seseorang yang mengatakan dirinya tokoh agama. Lebih-lebih lagi agama Islam.

“Lepas itu, dia (Nik Aziz) mengeluarkan fatwa menghukumkan ini (pemberian bantuan) satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan agama,” katanya.

Muhyiddin berkata, kenyataan Nik Aziz tersebut bercanggah dengan Islam dan harus disangkal oleh tokoh-tokoh agama lain.

“Amalan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu untuk membela, membantu, satu kerja amal yang patutnya didukung dan disokong oleh sesiapa pun.

“Jadi, dia (Nik Aziz) sudah membuat satu kenyataan yang sudah cukup bercanggah dengan hukum Islam sebenarnya, satu kesalahan dari segi agama,” katanya. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...