Translate

28/01/2013

PM Sampaikan Mesej Perpaduan Sebaik Tiba Di Tanah Air

Najib disambut timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta orang ramai setibanya di Kompleks Bunga Raya, KLIA sempena lawatan ke Gaza serta Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland di Sepang, Ahad. -fotoBERNAMA
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepentingan perpaduan dalam sesebuah negara dan bagaimana ia menjadi tonggak dalam perjuangan.
Katanya, rakyat Malaysia harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Gaza dan bersatu memperjuangkan hak asasi kemanusiaan.
Perdana Menteri berkata, mesej yang sama telah disampaikan ketika lawatan kemanusiaan beliau ke Gaza minggu lepas.
"Saya pergi ke sana selain daripada mesej kemanusiaan ialah (menyampaikan) mesej bahawa kalau mereka tidak bersatu, kalau mereka tidak tubuhkan kerajaan perpaduan antara Fatah dan Hamas mereka pasti tidak ada masa depan.
"Ingatlah bahawa tunjang kepada segalanya adalah perpaduan. Perpaduan itu amat penting, pengajaran kepada kita di Malaysia pun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menceritakan pengalaman beliau di Gaza bersama ribuan rakyat yang menyambut kepulangan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dari Switzerland sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.15 pagi Ahad.
Perdana menteri yang tidak dimaklumkan mengenai himpunan penyokong bagi meraikan kepulangannya itu dalam ucapannya berkata beliau bagaimanapun 'merestui' himpunan tersebut kerana ia menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Seri Norainee Abdul Rahman serta mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah dan menteri-menteri Kabinet.
Najib berkata, isu penindasan di Palestin tidak hanya menjadi isu masyarakat Islam tetapi telah menjadi isu hak asasi kemanusiaan.
Katanya, keputusan pergi ke Gaza dibuat kerana isu ini amat dekat dengan rakyat Malaysia selepas membantu dengan cara menghulurkan derma dan bantuan melalui kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Justeru katanya kunjungan ke sana amat penting bagi menyampaikan mesej bahawa mereka tidak 'berseorangan' dalam isu ini.
Najib bersama ribuan orang ramai yang menyambut ketibaannya dari mengadakan lawatan kerja ke Gaza, Mesir dan menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland ketika di Kompleks Bunga Raya, di KLIA, Ahad. -fotoBERNAMA
Beliau menjelaskan walaupun sokongan moral, kewangan dan politik boleh diberikan tetapi kesudahannya rakyat Palestin perlu mengambil langkah perpaduan.
"Inilah mesej yang telah saya sampaikan kepada mereka (pemimpin) bahawa rakyat Malaysia merupakan pejuang yang akan sentiasa berdiri teguh dengan kerajaan dan rakyat sesama sendiri dalam perjuangan mereka.
"Saya beritahu kepada dia (Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh) 'ini mesti dilakukan'. Bila saya berjumpa dengan Presiden Morsi saya kata tolong bantu mereka (Hamas-Fatah) ini untuk berunding sehingga kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan.
"Kalau ini menjadi kenyataan maka adalah harapan perjuangan mereka itu akan memperolehi kejayaan. Tetapi kalau mereka tak bersatu segalanya akan berakhir dengan kehampaan secara berterusan...penderitaan tidak akan kehabisan," katanya.
Beliau berkata rakyat akan mendapat masa depan yang lebih gemilang dengan bersatu.
"Kalau kita semua bersatu, kalau kita semua tahu membuat pilihan yang tepat dan melakukan apa yang ditutnut oleh agama kita dengan izin Allah kita akan dapat masa depan yang jauh lebih gemilang untuk Malaysia," katanya.
Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia pertama yang menjejakkan kaki ke negara itu turut dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa atas sokongan yang diberi terhadap perjuangan Palestin.
Selepas lawatan ke Gaza, Najib dan isteri berangkat ke Davos di Switzerland bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...