Translate

13/01/2013

Perhimpunan Mengabsahkan Program Transformasi PM

Perhimpunan pembangkang di Stadium Merdeka Kuala Lumpur hari ini menyerlahkan kematangan demokrasi Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Pakatan Rakyat mengumpulkan 100,000 penyokong mereka dari seluruh pelosok negara untuk berhimpun di stadium bersejarah itu. Pemimpin mereka diberi lesen bebas untuk menghentam Barisan Nasional (BN) khususnya Najib, kadang kala dengan kata-kata kesat dan tuduhan melulu. 
 
Hakikatnya adalah Akta Perhimpunan Aman 2012 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ruang secukupnya kepada pembangkang untuk mengadakan tunjuk perasaan terbesar mereka, menjelang pilihanraya umum ke 13. 
 
Segalanya berjalan aman, tidak ada insiden yang tidak diingini berlaku walaupun beberapa syarat yang dikenakan polis dicabul seperti peserta perhimpunan membawa kanak-kanak, ini adalah petanda baik untuk sistem demokrasi negara. 

Tentunya telinga pemimpin BN “merah” dan berdesing, mendengar kecaman-kecaman daripada Lim Guan Eng, Abdul Hadi Awang dan Anwar Ibrahim sendiri. 

Namun ketidakselesaan ini adalah harga yang terpaksa dibayar demi memperkasakan sistem demokrasi negara. 
 
Dalam membidas dan “mengganyang” Najib serta seluruh jentera kerajaan, pemimpin-pemimpin pembangkang  tidak bersyukur kerana berpeluang berhimpun secara aman dan diberi kerjasama polis yang sebaik mungkin.
 
Sebaliknya sewa tinggi Stadium Merdeka digunakan sebagai modal untuk menghentam kerajaan! 
 
Hadi, Guan Eng dan Anwar harus akur bahawa serangan mereka terhadap BN di stadium paling bersejarah dengan sendirinya membuktikan demokrasi tidaklah terkubur seperti yang didakwa berulang kali oleh mereka. 
 
Suara rakyat, walaupun daripada pembangkang tidak “dibenamkan”  malah disuburkan menerusi pelbagai kelonggaran undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 sejak 2009.
 
Memang diakui, masih ada ruang untuk diperbaiki, namun yang penting ialah proses menyuburkan demokrasi  sudah bertapak dan adalah sebuah proses berterusan. Ini maknanya satu transformasi politik Negara.    
 
Justeru sebelum pembangkang mendabik dada dengan untung politik yang dikecapi mereka menerusi perhimpunan hari ini, Guan Eng, Hadi dan Anwar harus fikir sejenak aspek lain. 
 
Mereka harus merenung  pencapaian-pencapaian BN di bawah pimpinan Najib yang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan beberapa undang-undang lain yang dilihat menghimpit kebebasan individu. 
 
Kehadiran penyokong pembangkang dalam jumlah puluhan ribu di Stadium Merdeka untuk melontar kritikan-kritikan terhadap Najib dengan sendirinya adalah satu sanjungan terhadap kepimpinan Najib dan transformasi yang  dibawa oleh beliau. 

Sumber:antarapos

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...