Translate

08/01/2013

Penyelewengan Tabung Memali Terbongkar

po_15.1
KUALA LUMPUR  - Pas berterusan dihimpit pelbagai isu yang menghakis keyakinan rakyat kerana belum pun reda kontroversi Amanat Haji Hadi kini, pucuk pimpinan parti itu didesak pula menyiasat dakwaan penyelewengan Tabung Memali yang bernilai jutaan ringgit.
Desakan itu dibuat sendiri Zainon Ismail atau CN Al-Afghani yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang bertanggungjawab mengurus Tabung Memali selepas tidak sanggup lagi melihat hak serta harta anak-anak yatim, balu dan mangsa Memali ‘diratah’ pihak lain.
Dalam nada tegas, beliau berkata, jika pucuk pimpinan Pas enggan menyelesaikan isu penyelewengan Tabung Memali tersebut, satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat sekali gus bakal mendedahkan lebih banyak sisi gelap pemimpin parti itu.
Zainon yang bertanggungjawab menghasilkan buku Air Mata di Bumi Memali mendakwa, wujud penyelewengan dalam Tabung Memali sehingga harta jutaan ringgit hasil derma ahli Pas dan rakyat Malaysia yang bersimpati dengan tragedi Memali pada 1985 hilang entah ke mana.
“Jangan pula lepas ini pucuk pimpinan Pas dakwa isu penyelewengan Tabung Memali ini pun isu basi. Masih ada sembilan balu Memali yang hidup dalam keadaan daif, masih ramai anak-anak yatim tragedi Memali yang memerlukan duit untuk meneruskan pengajian mereka.
“Tapi ke mana hilang semua harta balu, anak-anak yatim dan mangsa Memali ini? Ketika Pas pusat mengambil tindakan menutup tabung ini, masih ada RM65,000 dalam tabung tersebut dan sehingga kini ia tidak diberi kepada balu, anak-anak yatim dan mangsa Memali.
“Sebelum ditutup tabung ini yang dipecah kepada tiga iaitu Tabung Mangsa Memali, Tabung Balu Memali dan Tabung Anak-Anak Yatim Memali bernilai lebih RM1 juta tetapi ia ghaib begitu sahaja. Kenapa Pas tidak siasat,” katanya dalam majlis taklimat kepada sekumpulan anak muda, di sini malam tadi.
Anak-anak muda tersebut terdiri daripada mereka yang menghubungi Zainon dan mengunjungi Kampung Memali di Kedah bagi mengetahui kisah sebenar berhubung isu dakwaan berlaku penyelewengan dalam pengurusan Tabung Memali.
Tabung Memali ditubuhkan pada 1986 oleh Pas Pusat iaitu setahun selepas tragedi Memali bertujuan membiayai kos guaman kerana 14 balu bertindak menyaman Kerajaan Persekutuan, membiayai pendidikan anak-anak yatim serta membantu kos sara hidup mangsa Memali.
Sejak ditubuhkan, empat pihak diberi tanggungjawab oleh Pas Pusat untuk mengumpul semua sumbangan orang ramai iaitu lidah rasmi parti tersebut Harakah; Pejabat Pas Pusat; Pejabat Perhubungan Pas Kedah dan Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali.
Semua wang serta sumbangan orang ramai termasuk dalam bentuk barang kemas kemudian diuruskan oleh tiga individu, yang mana Zainon adalah salah seorang sebelum dimasukkan ke dalam tabung bagi membantu 14 balu, 80 anak- anak yatim dan hampir 150 mangsa Memali.
Sementara itu, ditanya mengapa beliau tampil mendedah dan mendesak kepimpinan Pas menyiasat penyelewengan tersebut, Zainon berkata, sudah cukup beliau menyaksikan penderitaan mangsa Memali yang dibiarkan sedangkan ‘harta’ mereka berjuta-juta ringgit.
“Ada seorang balu yang meninggal tiga hari sebelum Aidilfitri dalam keadaan cukup daif. Arwah meninggal dunia atas tikar mengkuang buruk dengan kaki bernanah dan berdarah akibat kencing manis tetapi mana pemimpin-pemimpin Pas? Mana harta mereka ini?.
“Saya tampil hari ini kerana saya yang menguruskan balu dan anak-anak yatim ini, sedangkan pemimpin Pas yang lebih faham soal halal haram memakan harta anak yatim membiarkan mereka ini tanpa sebarang perhatian malah menekan kami,” katanya.- Utusan Malaysia

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...