Rusila 27/11/2012 - Satu kejadian kehilangan seorang lelaki OKU yang juga pesakit mental WAN MOHD NAZRI BIN WAN GHANI, 39 tahun beralamat No. 13 Medan Rhu Renggeh, Rusila, 21600 Marang, Terengganu. Kejadian telahpun dilaporkan berlaku di Balai Polis Marang pada petang 26/11/2012.
Usaha bersama PDRM, JPAM, RELA serta penduduk kampung telah dilancarkan pada petang tersebut sehingga jam 10.00 malam menemui jalan buntu, dimana dipersekitaran kawasan tersebut adalah belukar serta hutan yang tebal.
Pada keesokan harinya 27/11/2012 usaha mengesah mangsa diteruskan dengan bantuan Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, namun gagal.
Menurut bapa mangsa Haji Wan Ghani, anaknya itu sejak dua tiga hari sebelum kejadian telah menunjukkan keadaan yang luarbiasa, dimana seringkali mengadu sakit dan demam, sehinggalah pada petang 26/11/2012 jam lebih kurang 3.30 petang, tiba-tiba anaknya itu (mangsa) dengan tidak berpakaian, hanya berkain sarong terus berlari keluar daripada rumah dan menuju ke arah Bukit Gegeh, yang terletak lebih kurang 1 km daripada rumahnya.
Beliau terus mengejarnya dengan jarak lebih kurang 100 meter, tapi gagal untuk menghampirinya, sehinggalah beliau melihat anaknya itu memanjat curam bukit dengan begitu pantas dan terus hilang daripada kelihatan melintasi bukit tersebut ke arah hutan tebal.
Beliau bersama keluarga berharap mangsa dapat ditemui dengan seberapa segera yang boleh, memandangkan pada hari tersebut mangsa tidak memakan sebarang makanan dan minuman.
Pusat Operasi Kejadian masih lagi dibuka berhampiran dengan lereng Bukit Gege yang mana menempatkan beberapa orang anggota polis, JPAM dan RELA serta beberapa orang penduduk setempat dan juga Pengerusi JKKK Kg. Rhu Renggeh.
Sebarang maklumat atau sesiapa saja yang menemui mangsa sepertimana gambar yang dipaparkan bolehlah menghubungi Pusat Operasi PDRM 09-6181471, JPAM - 09-6182557 dan bapa mangsa Wan Ghani 013-9821655.