Translate

19/10/2012

Agenda Pembangkang Tiada Kredibiliti, Belum Mampu Yakinkan Rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan pembangkang masih belum berjaya menyakinkan rakyat mengenai agenda pembangunan negara dalam meneraju pentadbiran ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, ketiadaan pengalaman serta rekod dalam urus tadbir negara menyebabkan mereka tidak sewajarnya diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Kita tidak boleh memberi kepercayaan dan sokongan kepada mereka yang mempunyai niat buruk untuk menjatuhkan kerajaan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin pada majlis Sepagi Bersama Perdana Menteri di Arena Square, Teluk Intan, hari ini.
Berlainan pula dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), keutuhan pentadbiran yang diterajui kerajaan semakin terserlah hasil pengalaman lebih 50 tahun.
“Trek rekod kejayaan dan kepimpinan BN telah terbukti membangun, membela nasib bangsa dan melakar masa depan yang jauh lebih baik kepada rakyat sendiri,” kata beliau.
Beliau juga berkata, BN sebagai sebuah kerajaan sentiasa mempunyai sifat kemanusiaan untuk terus memahami aspirasi, denyut nadi dan juga kehendak rakyat jelata.
“Sebagai sebuah negara yang membangun, kesinambungan diperlukan untuk perancangan jangka panjang bukan semata-mata untuk mendapat kuasa tapi rakyat akan mendapat lebih besar daripada BN,”  tambahnya.
Buktinya jelas melalui pembentangan Bajet 2013 yang begitu inklusif meliputi keperluan pelbagai lapisan masyarakat berteraskan keadilan sosial sejajar dengan tema “Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati.
“Bajet kita adalah bajet yang bertanggungjawab tidak seperti bajet Pakatan Rakyat yang tiada asas kredibiliti. Tiada penganalisis yang mengatakan bajet itu bajet itu tidak bertanggungjawab,” jelas beliau lagi.
Perdana Menteri berkata, pembangkang sengaja ingin melakar rasa benci rakyat  terhadap kerajaan dengan mendakwa Bajet 2013 yang dibentangkan itu sebagai ‘bajet pilihan raya’.
“Jika bajet itu dikatakan sebagai bajet pilihan raya, berkemungkinan kerajaan akan memberi lebih daripada apa yang telah dibentangkan,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Najib juga berkata negeri Perak akan pesat membangun hasil perancangan kerajaan membangunkan Lebuhraya Pantai Barat yang bakal meningkatkan kemajuan serta pembangunan untuk rakyat di Daerah Hilir Perak.
“Kawasan pantai barat dari Selangor ke Perak tidak begitu membangun berbanding kawasan Lebuh Raya Utara -Selatan. Dengan adanya lebuhraya ini, pembangunan di kawasan Teluk Intan akan bertambah baik,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...