KUALA LUMPUR: Siasatan awal Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati wujud transaksi dana antara Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Inisiatif Sdn Bhd.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suara Inisiatif yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 didapati menyalurkan dana kepada Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
"Dalam siasatan SSM mendapati ada kekeliruan dan keraguan dari segi kerjasama dan hubungan antara Suaram dan Suara Inisiatif. Kita tidak boleh reveal (dedah) lebih apa jenis hubungan itu, cukup setakat ini.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media bagi menjelaskan perkembangan terkini siasatan SSM ke atas Suaram dan Suara Inisiatif di sini, hari ini.
Sebelum ini, SSM dikritik oleh beberapa NGO kerana didakwa gagal bertindak terhadap Suaram yang mengaku menerima dana dari negara asing dan individu dari seluruh negara.
Kritikan itu susulan ada laporan mendakwa Suaram bukan NGO tapi sebuah syarikat dikenali Suara Inisiatif Sdn Bhd.
SSM kemudian mengesahkan Suara Inisiatif berdaftar dengan mereka di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat perbadanan pada 24 Oktober 2001, dan dianggotai dua pengarah berdaftar iaitu Kua Kia Soong dan Yeoh Seng Gua.
Kua juga adalah Pengarah Suaram yang dilapor mengesahkan NGO itu menerima dana dari negara asing.
Menjawab kritikan itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti Suaram tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SSM, namun institusi tersebut bertanggungjawab menyiasat sama ada berlaku pelanggaran terhadap peruntukan Akta Syarikat oleh Suara Inisiatif.
"Seterusnya pihak Bank Negara dan Kementerian Dalam Negeri yang akan mengambil tindakan dan keluarkan kenyataan jika berlaku penyelewengan," katanya, menambah siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Menurut Ismail, jika ada keperluan SSM akan mengambil keterangan individu yang boleh membantu siasatan termasuk pengarah syarikat dan akauntan jika dokumen dan maklumat dari hasil siasatan tidak lengkap.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Mohd Naim Daruwish yang turut hadir, menyifatkan tindakan sesetengah pihak mendesak beliau meletak jawatan berikutan isu Suaram dan Suara Inisiatif tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
"Ianya telah memburukkan nama SSM dan diri saya sendiri. Tiada keperluan untuk saya meletak jawatan tapi saya bersedia melakukannya jika SSM di pihak yang salah.
"Selama empat hari berturut-turut mereka desak saya letak jawatan tanpa sebab yang kukuh.
"Ini amat mengecewakan dan 'uncalled for and unwarranted'. SSM telah dan sedang mengambil tindakan berkaitan perkara ini mengikut undang-undang terpakai," katanya. - BERNAMA