KUALA
LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pindaan Akta Keterangan merupakan undang-undang
moden dan berpandangan ke hadapan dengan tujuan melindungi rakyat daripada
jenayah berasaskan internet seperti buli siber, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak hari Rabu.
"Sebagai kerajaan, ia adalah tanggungjawab kita untuk bertanya: Bagaimana
kita memastikan pelaporan atas talian adalah bertanggungjawab? Bagaimana, kita
memastikan rakyat tidak menjadi mangsa ugutan dan buli siber? Bagaimanakah kita
memastikan kebebasan wujud bersama dengan rasa hormat?
"Saya percaya ianya satu bentuk perundangan yang moden dan berpandangan
jauh," katanya pada majlis Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) 2012
di sini.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden NPC
Mokhtar Hussain.
Pindaan kepada Akta Keterangan 1950 termasuk memperkenalkan Seksyen 114A
menjadi kontroversi khusus dalam alam maya apabila ia diwartakan pada 31 Jun
lepas.
Seksyen 114A diperdebatkan sebagai berat sebelah kerana ia boleh membawa secara
liberal ke mahkamah mereka yang menerbitkan dan meniru atau mengirim kandungan
berunsur hasutan dan fitnah dalam internet tanpa mengira sama ada atau tidak
bahan itu berasal daripada mereka.
Najib juga berkata jika Malaysia mahu membina negara demokrasi yang benar-benar
responsif kepada keperluan semua orang dan bukan hanya untuk sebilangan mereka,
maka adalah penting untuk memperkasakan kedua-dua media baharu dan lama,
bertanggungjawab melaporkan apa yang mereka lihat.
"Saya selalu perkatakan bahawa saya mahu ruang dalam talian menjadi lebih
bertenaga sama seperti saya mahu media tradisional yang bebas, telus dan adil.
Pada awal tahun ini, kami memperkenalkan rang undang-undang Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan untuk terus meliberalisasikan media," katanya.
Apa sahaja perantaraan, katanya, kewartawanan yang terbaik adalah berani, ingin
tahu dan bertanggungjawab, semangat berani dan terbuka dalam amalan.
"Ia adalah elemen yang tidak dapat digantikan dalam demokrasi moden. Itu
adalah bentuk kewartawanan yang kita ingin menggalakkan dan yang mana kita
berkumpul di sini malam ini untuk meraikannya," katanya.
Najib menegaskan bahawa salah satu pencapaian terbesar generasi ini di mana
maklumat boleh dikongsi bersama secara bebas di seluruh dunia, sama ada dengan
kawan-kawan, keluarga mahupun dengan orang yang tidak dikenali.
"Tetapi dalam perubahan landskap ini, ia kedua-dua menyeronokkan dan
membebaskan, dengan ia datang dengan persoalan etika baharu. Media tradisional
dikawal oleh kod tatalaku secara formal dan tidak formal.
"Saya tahu anda semua secara naluri memahami tanggungjawab untuk
melaporkan apa yang anda lihat dengan tepat dan memaklumkan kepada pembaca anda
tanpa prejudis.
"Bagaimanapun, penggunaan dalam talian boleh menggunakan 'taktik gerila'
untuk fitnah, tidak memberi maklumat sebenar atau menyerang -- ia boleh
dilakukan di bawah jubah anonimiti," katanya.
Najib juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah dan berkata
bahawa setiap orang dalam industri media telah menjadikan media Malaysia
seperti apa yang ada hari ini.
"Anda melaporkan kebenaran dengan cermat dengan membawa pandangan dan
penchayaan kepada awam - meletakkan Malaysia di landasan ke arah menjadi sebuah
negara maju," katanya.