Translate

07/07/2012

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihukum penjara 13 tahun dan denda berjumlah RM2.275 juta

BANGUNAN Plaza Masalam, Shah Alam, tempat di mana Mohan didakwa meminta rasuah daripada Sinnaiah tiga tahun lalu.
SHAH ALAM - Seorang Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihukum penjara 13 tahun dan denda berjumlah RM2.275 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan rasuah tiga tahun lalu.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Mohan, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.
Bagi pertuduhan pertama, Mohan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan denda RM1.25 juta atau 60 bulan penjara jika gagal membayar denda. Pertuduhan kedua pula, Mohan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan denda RM1 juta atau 50 bulan penjara jika gagal membayar denda itu manakala hukuman penjara 13 tahun dan denda RM25,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda pula dikenakan ke atasnya bagi pertuduhan ketiga.
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas Azhaniz Teh memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh jatuh hukum semalam.
Peguam yang mewakili Mohan, R. Ratha Kirushnan memohon kepada mahkamah supaya hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah berkata, tiada keadaan istimewa yang membolehkan hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan walaupun dia telah berkhidmat selama 18 tahun dengan SPRM.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...