TEKNAF (Bangladesh): Komuniti Rohingya dari Myanmar yang berlindung
di kem pelarian Bangladesh semalam meminta ikon demokrasi negara mereka,
Aung San Suu Kyi, segera membantu.
Bangladesh yang berkongsi sempadan dengan Myanmar sejauh 200 kilometer, dihuni kira-kira 300,000 masyarakat Islam Rohingya.
Dianggarkan 25 orang terbunuh dan 41 cedera sepanjang tempoh lima hari pergaduhan antara penganut Buddha dan Islam di negeri Rakhine, Myanmar.
Pemimpin masyarakat Islam setempat di Teknaf, Mohammad Islam, berkata
mereka menggesa PBB, negara luar dan kerajaan Myanmar - terutama Suu
Kyi - segera bertindak.
“Seperti warga Myanmar lain, dia hanya berdiam diri mengenai hak masyarakat Rohingya,” katanya.
Dalam lawatan pertamanya ke luar Myanmar dalam tempoh 24 tahun, bulan
lalu Suu Kyi bertemu ribuan pelarian Myanmar yang tinggal di sempadan
Thailand.
Dia berjanji membantu sedaya upaya bagi membolehkan mereka kembali ke Myanmar.
Mohammad berkata, ketika Suu Kyi memperjuangkan hak pelarian -
terutama suku Karen, dia tidak bersuara langsung untuk pelarian
Rohingya.
“Kami dengar, hubungannya dengan kerajaan semakin baik dan berlaku reformasi menyeluruh.
“Namun, untuk masyarakat Rohingya, perubahan itu tidak bermakna,” katanya. - AFP