KOTA BHARU 8 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau pernah 'menjanjikan' syurga kepada pengundi yang memilih Pas dalam pilihan raya.
Nik Abdul Aziz sebaliknya berkata, beliau hanya menyebut bahawa orang
yang telah mengundi parti itu khususnya pada pilihan raya umum 1990
mendapat pahala.
Katanya, pihak yang mendakwanya berkata demikian tidak pandai membezakan antara balasan syurga dan pahala serta meminta mereka terutamanya pihak media menyebut dengan jelas siapa yang telah memberi janji syurga tersebut.
"Surat khabar minggu lepas sibuk pasal undi Pas masuk syurga, saya
nak tanya siapa dia yang kata begitu? Nak tanya wartawan yang hadir hari
ini siapa kata begitu? Kalau saya sendiri, saya kata begini 'siapa yang
undi Pas tahun 1990 dahulu dapat pahala'.
"Boleh pahala lain, boleh syurga pula lain, biar reti. Apabila masuk
syurga tidak boleh keluar dah, tapi kalau dapat pahala boleh jadi pahala
akan hilang. Ini kerana tidak semestinya pahala itu boleh dibawa sampai
ke mati.
"Terlalu banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang bercerita tentang
kalau kita buat amal soleh kita boleh dapat pahala. Pahala ini boleh
hilang kalau kita tak pandai jaga, macam kita cari duit, cari duit
bolehlah tapi kalau kita simpan dalam poket yang berlubang, maka akan
habis. Duit sudah dapat hasil jual goreng pisang dan macam-macam lagi,
tapi kalau kita simpan dalam poket (tembus), maka akan habis," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Perhubungan Pas negeri, di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata, tiada pemimpin yang boleh memberi jaminan
tentang masa depan manusia kecuali Nabi Muhammad yang diberi Allah
jawapan kepada semua permasalahan melalui risalah Islam yang dibawanya.
Sementara itu, beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang menyebut
bahawa syurga adalah kurniaan Allah yang diberi kepada sesiapa sahaja
yang dikehendaki-Nya dan menganggap pandangan itu serupa dengan fahaman
puak Jabariyah.
Nik Abdul Aziz juga melahirkan keraguan dengan kenyataan Ahli Majlis
Fatwa Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi yang disiarkan dalam
akhbar baru-baru ini, yang telah mengulas mengenai isu masuk syurga jika
mengundi parti tertentu.
Beliau menegaskan, laporan mengenai kenyataan Sulaiman itu belum
tentu benar kerana katanya ulama Arab Saudi tersebut adalah dari sebuah
negara yang mengamalkan hukum Islam yang mungkin memberi jawapan
mengejutkan jika ditanya mengenai hukum orang Melayu beragama Islam yang
menolak dasar Islam.
"Jangan main-main dengan ulama Arab Saudi kerana kalau salah tanya
akan makan diri kamu. Arab Saudi ini mereka jalankan undang-undang ikut
hukum Islam bukan kebangsaan, dia pancung orang, kerat tangan ikut
hukum, kalau kamu salah tanya 'Wahai Syeikh apa hukum orang Melayu
beragama Islam tolak Islam, takut dia jawab kafir pun boleh jadi,"
katanya.
Sumber:utusan
Sumber:utusan