Pemimpin-pemimpin tertinggi Pas dicabar untuk membuat kenyataan sama ada bersetuju atau tidak dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu individu bukan Melayu iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi perdana menteri.
Cabaran itu dilontarkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat insiden kononnya Karpal hampir tersasul menyebut Guan Eng sebagai Perdana Menteri pada satu majlis di pasar Air Itam, Pulau Pinang semalam sebagai bukan disengajakan.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu tampil untuk menjawab persoalan tersebut.
"Sanggupkah mereka menerima kenyataan tersebut dalam keadaan umat Melayu Islam sekarang berpecah-belah akibat dolak-dalik yang dibuat oleh pemimpin Islam Pas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam insiden berkenaan yang dilaporkan oleh The Star hari ini, Karpal seterusnya menjelaskan bahawa tiada salahnya dengan konsep bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Menurut Mohd. Jurit, Pas pada hari ini sudah dilihat oleh umat Islam sebagai kuda tunggangan DAP, malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengaku bersedia menjadi kuda tunggangan DAP, justeru kenyataan Karpal itu bukanlah suatu mainan.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzahjuga mencabar pemimpin tertinggi Pas untuk menjawab kenyataan Karpal itu secara terbuka.
"Apa yang diucapkan oleh Karpal itu bukan perkara mustahil dan kita mahu parti sekutu DAP iaitu Pas untuk menjawab sama ada setuju atau tidak kerana kita tengok sejak kebelakangan ini Pas meletakkan kepentingan yang pelik-pelik dalam partinya," katanya.
Kata beliau, Pas perlu sedar bahawa mereka sepatutnya menjadi parti yang dominan dalam pakatan pembangkang, bukan membiarkan DAP menjadikannya sebagai kuda tunggangan yang sekali gus akan menghancurkan umat Islam dan Melayu.