Khamis, 12 April 2012

Yakin rakyat kini bersedia – PM


KUALA LUMPUR 11 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah membatalkan tiga proklamasi darurat adalah kerana yakin rakyat kini telah bersedia untuk memasuki era baru.

“Kerajaan percaya bahawa setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi.

“Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin,” kata beliau dalam ucapannya pada istiadat pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Istana Negara di sini hari ini.

Najib berkata: “Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan.”

Kata beliau, bersesuaian dengan iltizam itu, kerajaan melalui Parlimen telah pun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuasa dan akan membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan Rela, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.

Menurut beliau, pada Isnin ini, beliau akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di persidangan Dewan Rakyat.

“Pada hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak berjasa kepada negara, ia telah pun melampaui jangka hayat kegunaannya. Kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks,” katanya.

Najib juga berkata, di bawah undang-undang baru, kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Negeri, manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan.

“Kuasa semakan kehakiman pula akan dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin bahawa tidak ada seorangpun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya,” katanya.

Beliau menambah, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas, yang dibacakan buat pertama kali di persidangan Dewan Rakyat semalam, bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berparlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warganegara. – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...