Translate

13/04/2012

ELAUN RM9,000 AKAN HILANG JIKA BERUNDUR DARI KERUSI PENGERUSI PBSNT ???



NADA tegas disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh bahawa beliau tidak sesekali akan meninggalkan persatuan itu.
Malah, pemimpin veteran itu turut menempelak segelintir penyokong Terengganu yang disifatkannya tidak faham mengenai prestasi sebenar skuad Penyu itu ketika ini.
Menurut Che Mat, Terengganu bukannya berada pada kedudukan kritikal sehingga memaksa peletakan jawatan mana-mana individu termasuk jurulatih, sebaliknya skuad itu berada pada landasan terbaik untuk mencatat satu lagi kejayaan musim ini.
"Kita masih berada pada kedudukan kedua dalam Kumpulan F Piala AFC dan telah melayakkan diri ke separuh akhir dalam misi mempertahankan gelaran Piala FA.
"Dalam saingan Liga Super pula, Terengganu bukannya menghuni kedudukan tercorot tetapi berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini," jelas Che Mat kepada Kosmo!semalam.
Justeru, Che Mat yang mula menyertai PBSNT sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pada 1974 sebelum memenangi pemilihan jawatan presiden pada 2000 mengakui, tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh segelintir penyokong Terengganu.
Bagaimanapun, Che Mat berkata, beliau percaya kumpulan penyokong itu mungkin mempunyai agenda tersendiri sehingga memaksanya untuk berundur daripada mengemudi PBSNT.
"Kalau mereka kecewa disebabkan kekalahan kita kepada Selangor dan Tampines Rovers kelmarin, kenapa pula mereka tidak menyambut pemain-pemain kita di lapangan terbang selepas menang ke atas Tampines Rovers minggu lalu.
"Jika ingin menjadi penyokong, mereka patut sentiasa berdiri di belakang pasukan tidak kira ketika Terengganu kalah atau menang," tambahnya.
Che Mat juga tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengannya apabila terlalu lama berada dalam PBSNT.
"Mungkin mereka rasa saya sudah lama berada dalam persatuan ini dan inginkan perubahan. Tapi saya ingin tanya, siapa yang mahu ambil persatuan ini," katanya.
Mengenai nasib jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, beliau mengakui tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh bekas pemain kebangsaan itu.
"Mat Zan mengambil alih pasukan pada ketika pasukan berada pada kedudukan yang baik dan sudah pasti para penyokong mengharapkan sesuatu daripada dia.
"Tapi apabila tewas, penyokong menyalahkan jurulatih sedangkan mereka tidak tahu pemain kita cukup keletihan apabila perlu melalui jadual perlawanan padat," jelasnya.
Kelmarin, hampir 300 penyokong tegar Terengganu berkumpul di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan mendesak Che Mat berundur daripada memimpin PBSNT.
Desakan itu berlaku sejurus Terengganu tewas 0-2 kepada Tampines Rovers pada aksi Kumpulan F Piala AFC.
Sebelum ini, para penyokong Terengganu turut mendesak Che Mat berundur ekoran perpindahan bekas jurulatih, Irfan Bakti ke Selangor secara mengejut.


Sumber:kosmo

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...