Translate

27/04/2012

Bersih 3.0 sudah melampau, polis akan bertindak...


Sudah terlampau bertolak ansur, itulah situasi yang dihadapi oleh pihak berkuasa berdepan dengan kerenah tidak sudah-sudah pihak pembangkang dalam menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0.

Berikutan itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata polis akan mengambil tindakan perlu daripada aspek keselamatan sekiranya penganjur tetapi berdegil untuk meneruskan niat mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada hujung minggu ini.

"Kita sudah bertolak ansur dan telah memberikan alternatif kepada mereka untuk mengadakan perhimpunan di tempat lain...jika mereka berdegil jadi terserah kepada polis (untuk ambil tindakan perlu)," katanya.

Beliau berkata polis bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam terpelihara dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

"Saya harap pihak penganjur dapat berhimpun di tempat alternatif yang ditawarkan atas semangat transformasi politik dan perubahan yang dilakukan kerajaan, jadi semua pihak perlu menyumbang ke arah pembinaan demokrasi sihat dan matang," katanya.

Ditanya apakah tindakan yang mungkin akan dilakukan polis sekiranya perhimpunan yang dianjurkan badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu tetap diadakan di Dataran Merdeka, Hishammuddin berkata "ia bergantung kepada tindakan pihak penganjur".

Sementara itu, alasan pengajur perhimpunan Sabtu ini bahawa mereka kesuntukan masa untuk menukar venue dari Dataran Merdeka ke stadium-stadium sekitar bandar raya ini adalah tidak munasabah, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Pertubuhan Agenda Sosial Media 1Malaysia (1AGENDA) Zul Azhar Cha berkata mereka seharusnya mudah mewar-warkan perubahan venue kerana kebanyakan mereka menggunakan laman interaktif seperti Twitter, Facebook dan blog mengenai perhimpunan itu.

"Saya yakin mereka mempunyai niat buruk untuk dijadikan modal atau isu bagi memudahkan kempen mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, kerana menyedari mereka sudah ketandusan isu yang boleh menidakkan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan tiga buah stadium iaitu Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras serta Stadium Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

Manakala pemilik Stadium Merdeka, Merdeka Heritage Trust juga turut sedia mempertimbangkan permohonan penggunaan stadium itu serta Perbadanan Stadium Malaysia turut menawarkan Stadium Nasional Bukit Jalil.-26/4/2012

Sumber:agendadaily

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...