Translate

15/03/2012

Pengundi pos mengundi awal

Image Detail 

Buat pertama kali kesemua 242,294 pengundi pos berdaftar di negara ini secara automatik akan menjadi pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, bagaimanapun individu yang tidak dapat membuat undian awal dibolehkan mengundi pos dengan membuat permohonan kepada pegawai pengurus di tempat mengundi masing-masing.


"Sebelum ini, polis dan tentera layak untuk mengundi pos tetapi seperti yang kita sedia maklum, undi pos ini menjadi kontroversi seolah-olah tidak telus.

"Jadi perkara ini dibangkitkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dan dicadangkan supaya diperkenalkan undian awal dan SPR sendiri bersetuju," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Taklimat Pegawai Pengurus dan Ketua Polis Daerah bagi persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13 negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli SPR, Datuk Jamdin Buyong; Pengarah SPR Sabah, Datuk Md. Idrus Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang.

Bagaimanapun menurut Abdul Aziz, pengundian awal tidak boleh dibuat oleh pengundi pos yang berdaftar di luar negara.

Ia katanya, rekod menunjukkan seramai 1,749 pengundi pos di luar negara yang melibatkan pelajar dan pegawai kerajaan.

Menurutnya, kini terdapat seramai 94,613 anggota dan pegawai polis mendaftar sebagai pengundi pos manakala seramai 147,681 pula di kalangan warga angkatan tentera.

Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu, proses pengundian awal adalah sama seperti pengundian biasa cuma diadakan antara dua hingga tiga hari lebih awal.

"Undian awal ini juga tidak menggunakan sampul surat A, B, sampul surat keutamaan dan karung seperti undi pos," katanya.

Jelasnya, undian awal itu akan dibuat di dewan-dewan terpilih seperti di ibu pejabat polis kontinjen, ibu pejabat polis daerah dan kem tentera.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan dakwat kekal, beliau berkata, pengundi awal akan menggunakan dakwat berlainan warna berbanding pengundi biasa.

Selain itu, katanya, dakwat kekal yang digunakan pengundi awal juga lebih tahan lama berbanding semasa pengundian biasa.

"Ini supaya mana-mana pihak tidak boleh meniru kerana tidak tahu warna pada pengundian biasa malah, botol dakwat juga adalah berbeza," ujarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...