Rabu, 29 Februari 2012

Najib Mahu Masyarakat Akar Umbi Nikmati Hasil Inovasi

Image Detail

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam langkah negara menjana kekayaan melalui pengkormesialan dan inovasi, usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di peringkat akar umbi tidak seharusnya dilupakan.

Perdana Menteri berkata inovasi perlu dilihat dalam konteks usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan mutu kesihatan awam, kemajuan dalam bidang pertanian dan sebagainya.
"Ini juga ada kaitan dengan hasrat kita untuk membangunkan kawasan desa dan luar bandar berdasarkan pada model baru yang seimbang dengan keadaan abad ke-21," katanya semasa berucap sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara di sini pada Selasa. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata peranan sains dan teknologi amat penting bagi menambah nilai produk-produk inovasi yang boleh dihasilkan oleh masyarakat akar umbi.

Perdana Menteri berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan membentangkan kertas kerja mengenai "inovasi akar umbi" untuk melihat bagaimana menggunakan pendekatan amalan terbaik yang digunakan di bidang lain yang terbukti berjaya menangani masalah keperluan asas dan harian masyarakat.

Berhubung kekurangan minat pelajar mengenai subjek sains dan matematik serta tahap inovasi yang masih rendah terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (SME), Najib berkata perkara itu akan ditangani secara agresif.

Beliau berharap pelan hala tuju modal insan dalam SME yang sedang dibangunkan serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akta Sains yang sedang digubal dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini.

"Saya percaya inisiatif itu akan dapat menangani isu-isu kritikal seperti pembangunan modal insan, bilangan penyelidik yang masih rendah, kemajuan kurang menarik dalam kerjaya sains, pelaburan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang sederhana dan tahap inovasi yang belum memuaskan," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam dan Ekuiti di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) diberi mandat menambah baik landskap dan mekanisme pelaburan dalam R&D bagi memastikan pulangan setimpal.

Dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, Perdana Menteri berkata terdapat kemestian bagi mengimbangkan pelaburan dalam bidang penyelidikan asas dengan kehendak pasaran, umpamanya dengan sasaran awal pada nisbah 50-50.

"Bagi mencapai sasaran tersebut kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan dengan industri perlu diperhebat serta dipertingkatkan selaras dengan kehendak model inovasi negara," katanya.

Najib berkata adalah penting untuk mengimbangkan kemajuan sains dan teknologi dengan sains sosial kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara, untuk mengelak kemudaratan kepada negara.

"Pendekatan holistik perlu diambil bagi memastikan pengingtegrasian bidang sains dan teknologi dengan sains sosial dan kemanusiaan supaya dapat melahirkan insan-insan yang seimbang dan mampan," katanya.

Beliau menyambut baik usaha-usaha terkini untuk menganjakkan inovasi negara seperti jalinan kerjasama dengan negara jiran di peringkat Asean, penyertaan dalam Triti Antartika, inisiatif Segitiga Terumbu Karang dan kerjasama dengan institusi penyelidikan tersohor dunia.

"Diharapkan inisiatif yang diambil akan membantu tingkatkan kedudukan tahap daya saing negara," kata Perdana Menteri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...