Isnin, 27 Februari 2012

MB nasihat Badrolamin cuti satu bulan

Image Detail
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrolamin Bahron bercuti sebulan sehingga siasatan dakwaan khalwat beliau selesai.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Abdul Khalid melalui e-mel telah menyampaikan cadangan tersebut agar Badrolamin dapat menumpukan perhatian kepada kes tersebut.

“Menteri Besar kini berada di Pahang, hanya berhubung dengan saya melalui e-mel, beliau memaklumkan kepada saya agar Dr Badrolamin mengambil cuti sebulan sementara beliau dapat mengendalikan kes ini dengan baik.
“Kita akan bincang Isnin ini (esok) bila beliau akan mula bercuti. Pejabat Menteri Besar akan membuat satu mesyuarat ringkas untuk bincangkannya tetapi kita akan minta beliau bercuti selama sebulan,” katanya.
Faekah berkata, Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat kes tersebut secara adil kerana bukan sahaja melibatkan pentadbiran cekap, tetapi juga melibatkan maruah individu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga meminta Badrolamin memberikan sepenuhnya kerjasama kepada Jabatan Agama Islam Pahang bagi membersihkan nama beliau.
“Kita perlu berhati-hati dalam kes sebegini, kalau maruah seseorang tentu ia melibatkan keluarga, anak-anak dan masa depan mereka. Sebab itu Kerajaan Negeri memberikan kelapangan kepada beliau,” katanya.
Dalam pada itu katanya, masih terlalu awal untuk Kerajaan Negeri membuat telahan berhubung isu ini kerana ia masih baru, malah Badrolamin mendakwa ketika beliau ditangkap, wanita berkenaan tiada dalam bilik tersebut.
“Perkara itu berlaku di Pahang, ia di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor untuk campur tangan secara dekat.
“Kalau berlaku di Selangor, paling tidak kita boleh bertanya kepada beliau apakah SOP yang dilakukan pada kejadian tersebut. Tetapi (ia berlaku) di Pahang walaupun ia melibatkan kakitangan awam Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau juga difahamkan, sepanjang Badrolamin bercuti kelak, portfolionya akan dipegang Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Arfa’eza Abdul Aziz.
Semalam, Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz mengesahkan seorang pemimpin PKR Selangor ditangkap kerana dipercayai berdua-duaan bersama wanita berstatus isteri orang dalam sebuah bilik hotel di Balok, Pahang kira-kira jam 3 pagi.
Beliau yang enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut.
Pemimpin berkenaan dikatakan berada di hotel itu untuk satu pertemuan bersama pemimpin PKR lain selama tiga hari berakhir hari ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...