Rabu, 18 Januari 2012

Jabatan Hal Ehwal Bekas Polis ditubuhkan

Image Detail

Persatuan Bekas-Bekas Polis yang ada tidak menitik berat kebajikan ahli-ahlinya.

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Jabatan Hal Ehwal Bekas Polis akan diwujudkan bagi menjaga kebajikan lebih 150,000 pesara serta bekas anggota yang pernah berkhidmat dalam pasukan termasuk Special Constabulary (SC), Home Guards (HG) dan Auxilliary Police (AP), Kementerian Dalam Negeri mengumumkan hari ini.


Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jabatan itu yang diletakkan di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) berfungsi mengurus segala perkara berkaitan kebajikan pesara dan bekas polis.

"Ia selari dengan pengumuman Perdana Menteri di satu majlis pertemuan khas dengan kumpulan ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 Oktober tahun lepas,” katanya.

Mahmood berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha mengendalikan urusan dasar membabitkan kumpulan itu, mewujudkan unit khas bagi menguruskan isu perumahan dan pekerjaan serta mewujudkan tabung amanah.
Katanya, matlamat jabatan itu adalah untuk menguruskan keperluan sosio-ekonomi kumpulan ini secara lebih cekap dan bersepadu sekali gus menjamin kehidupan lebih berkualiti.

"Selain itu, ia juga disasarkan untuk berfungsi memperkasa pengurusan pesara serta bekas polis negara ini dan dalam masa yang sama meningkatkan kecekapan Kerajaan dalam sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya. — BERNAMA.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...