Jumaat, 20 Januari 2012

AADK sasar tubuh 40 rumah komuniti baru

Image Detail

KUALA TERENGGANU 19 Jan. – Dalam usaha membantu memulihkan penagih dadah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan untuk mewujudkan 40 buah lagi rumah komuniti antidadah di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zuraidah Mohamed berkata, pembinaan rumah-rumah itu dapat membantu golongan berkenaan meneruskan hidup bersama-sama komuniti setempat.

Katanya, ia berdasarkan keberkesanan 39 rumah komuniti sedia ada di mana hampir 11,000 pelanggan (penagih) mendapatkan rawatan setahun.


"Sehingga kini terdapat 300,000 penagih dadah dicatatkan di seluruh negara dan hampir 250,000 daripadanya mendapatkan khidmat bantuan pemulihan di rumah komuniti ini.

"Justeru, melalui kewujudan lebih banyak rumah komuniti kita yakin dapat menurunkan statistik penagih dadah, selain membantu mereka membina keyakinan diri dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jenguk Mahabbah ke Rumah Komuniti Gong Baru di sini semalam.

Hadir sama Pengarah AADK Negeri, Wan Addenan Wan Mohd Noor; Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Terengganu, Hafiz Hassan dan Pengerusi Rumah Komuniti Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail.

Dalam pada itu, Zuraidah berkata, bagi tujuan menaik taraf kemudahan yang ada, selain menampung perbelanjaan penganjuran program-program pemulihan dan pencegahan yang dijalankan di rumah komuniti itu, bantuan sebanyak RM20,000 diperuntukkan kepada setiap rumah komuniti berkenaan.

Tambahnya, peruntukan yang disediakan itu berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam membantu mengurangkan 30 peratus penagih dadah di negara ini.

“Ahli jawatankuasa pusat ini membantu mengadakan program rawatan pemulihan dan pencegahan, manakala AADK menyediakan khidmat pegawai pembimbing rakan sebaya (PRS) untuk membantu penagih," jelasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...