Translate

17/12/2011

Kelantan sebagai negeri dengan bilangan penghidap HIV dan AIDS tertinggi dalam negara.


KOTA BHARU 16 Dis. - Golongan pendakwah dan penggiat masyarakat diminta tidak malu dengan ranking Kelantan sebagai negeri dengan bilangan penghidap HIV dan AIDS tertinggi dalam negara.

Kaunselor HIV dan AIDS Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Zaimah Husin berkata, ranking tersebut tidak harus dipandang negatif kerana ia menandakan pekerja kesihatan di negeri ini menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya dalam merekod data mengenai pesakit HIV dan AIDS.

"Kita tidak perlu malu kerana kakitangan kesihatan membuat kerja mencatat setiap kes yang dikenal pasti dan tidak menyembunyikan data.


"Mereka menyebarkan maklumat tentang risiko HIV dan AIDS kepada orang ramai dan apabila masyarakat sedar mereka datang ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan.

"Setiap makluman dimasukkan dalam notifikasi dan didaftarkan tanpa disembunyikan," katanya kepada pemberita selepas majlis Program Kesedaran HIV dan AIDS 'Nur Hayah' anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Gelanggang Seni di sini semalam.

Program dengan kerjasama sebuah konsultan itu bertujuan memberi pendedahan tentang penyakit HIV dan AIDS serta cara menanganinya kepada lebih 200 penggerak masyarakat di bandar itu.

Zaimah berkata, ranking tersebut menjadi pencetus kesedaran paling ampuh agar semua pihak mengambil peranan lebih serius membendung penularan penyakit itu dalam masyarakat.

Namun, beliau berkata, perkara paling utama adalah membuang dahulu stigma negatif terhadap pesakit HIV dan AIDS kerana dengan kemajuan perubatan, penyakit itu kini sudah dapat dikawal.

Jelasnya, virus berbahaya itu hanya boleh berjangkit menerusi tiga cara iaitu hubungan seks, berkongsi jarum suntikan dan dari ibu kepada anak dalam kandungan dan tidak melalui pergaulan seharian atau cara lain.

"Masyarakat mesti mengambil kisah dan memberikan maklumat jika ada antara rakan dan ahli keluarga yang disyaki menghidap HIV dan Aids.

"Jangan malu atau sembunyikan mereka kerana klinik dan hospital kerajaan sekarang menyediakan ubat dan rawatan percuma yang boleh mengawal virus daripada merebak dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani hidup seperti orang biasa," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...