Translate

18/12/2011

Hasan: Selangor-Perak Sasaran Utama Pemesongan Akidah

Image Detail
KUALA KANGSAR, 17 DIS : Selangor dan Perak adalah menjadi sasaran utama usaha permurtadan ataupun pemesongan akidah di kalangan umat Melayu Islam selain Sabah dan Sarawak,  tegas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali. 
 
Keadaan itu begitu membimbangkan di Selangor kerana kumpulan mubaligh berkenaan mempunyai unit khas yang terlatih untuk melakukan kerja-kerja pengguguran akidah ke atas umat Islam, tambah Hasan.
 "Gerakan antarabangsa daripada Eropah, daripada Amerika, Australia  mendatangkan orang-orang yang terlatih…, mereka mendatangkan ratusan (daripada kelompok ini) dan antara negeri yang menjadi fokus mereka di Malaysia selain daripada Sabah dan Sarawak,  ialah Selangor (dan) Perak Darul Ridzuan,” kata beliau. 
 
"Mereka terlatih, sebahagiannya mempunyai PhD, sebahagiannya memiliki Sarjana. Mereka bukan sahaja terlatih dalam ilmu-ilmu menggugurkan akidah umat Islam. Di Selangor, saya diberitahu satu unit khas telah ditubuhkan untuk menggugur dan memesongkan akidah khusus untuk umat Melayu Islam sahaja," kata Hasan pada majlis Himpunan Sejuta Umat, di sini, hari ini.      
 
Hasan menjadi penceramah utama di perhimpunan itu yang bertujuan menyatukan umat Islam untuk menentang usaha-usaha penyebaran agama lain terhadap umat Islam yang dikatakan semakin berleluasa.
 
Pembabitan beliau dengan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan menggerakkan Himpunan Sejuta Umat menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin PAS yang menolak forum itu sebagai sebahagian daripada agenda kerajaan.
 
Hasan mengambil pendirian untuk menyokong Himpun kerana masalah akidah, menurut beliau, tidak mengenal batas politik dan harus didokong oleh semua pihak.
 
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor itu dilihat sebagai “pengacau” dalam usaha PAS dan Pakatan Rakyat mendapatkan undi bukan Melayu kerana sering membuat ketetapan yang tidak senada dengan pimpinan tertinggi pembangkang.
 
Minggu lalu, seorang pemimpin PAS Selangor membayangkan Hasan akan digugurkan sebagai calon parti kerana dikatakan tidak mendapat sokongan di peringkat cawangan.
 
Hasan berkata beliau tidak gusar dengan soal pencalonan dan akan terus bersemangat kental  dalam mempertahankan Islam.  
 
Berucap di hadapan kira-kira 3,000 orang hari ini, Hasan sekali lagi menegaskan, beliau sebagai Muslim tidak rela melihat akidah umat Islam di negara ini digugat dalam apa juga bentuk.  
 
" (Akidah) bukan perkara ini lebih kecil daripada letupan gunung berapi, bukan perkara yang lebih kecil daripada banjir yang melanda lebih tiga bulan di Thailand, bukan lebih kecil daripada gegaran gempa bumi yang berlaku hampir dua minggu sekali sekarang ini tapi persoalan akidah yang kita bincangkan ini adalah persoalan hidup dan mati seperti yang dikatakan oleh teman-teman sebentar tadi,"ujarnya tegas.   
 
Malah ujarnya, persoalan akidah ini menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu, pemimpin kerajaan sehinggalah kepada rakyat biasa. 
   
" Permasalah akidah ini bukan permasalahan individu sahaja. Bukan permasalahan keluarga sahaja, bukan masalah jiran tetangga sahaja tetapi seluruhnya. Daripada istana sampailah kepada nelayan dan petani paling miskini.   
 
" Saudara yang kaya ada persoalan akidah, yang miskin ada persoalan akidah, pembawa teksi ada persoalan akidah, nelayan ada persoalan akidah, profesor universiti ada persoalan akidah, orang atasan ada persoalan akidah, orang pertengahan ada persoalan akidah, orang bawahan ada persoalan akidah.    
 
" Apa persoalan akidahnya. Persoalan akidah yang pertamanya kini ialah akidah sedang sedang tercabar kini,"ujar Hasan tegas.   

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...