Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, pelbagai isu negatif timbul yang dibangkitkan oleh pembangkang terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Isu-isu yang dibangkitkan itu bukan sahaja membabitkan negeri yang pernah ditadbir BN seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor malah turut menyentuh isu peribadi yang membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terbaru, kerajaan juga diserang dalam isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) daripada segi pengurusannya dan perbelanjaannya oleh pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun tuduhan itu sudah dijawab dengan terperinci oleh pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
Melihat rancaknya serangan media pembangkang terhadap kerajaan pimpinan BN, ramai tertanya-tanya sampai bilakah Umno dan BN hanya mahu bertahan dan tidak menyerang balas?
Serangan pembangkang banyak ketikanya tidak berdasarkan fakta, jauh sekali untuk menyemaknya dengan pihak yang dituduh. Bahkan tidak kurang yang sengaja diada-adakan, seolah-olah kerana mereka menyokong pembangkang, mereka berhak menyerang sehingga ke tahap memfitnah.
Banyak juga yang bertanya kepada penulis, salahkah jika BN turut menyerang tetapi dengan berdasarkan fakta yang jelas, supaya pembangkang kenal langit tinggi rendah?
Pepatah ada menyatakan bahawa pertahanan yang paling baik ialah dengan menyerang, dan strategi ini banyak digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk sukan.
Ini sepatutnya dijadikan sebagai satu kaedah menghadapi peperangan terbuka daripada sudut politik, bukan sahaja di media cetak dan elektronik malah di media baru seperti portal berita, laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia, yang julung kali diadakan Ahad lepas, berkata Umno perlu menyerang dan jangan menjadi pasif.
"Sekiranya tak berani menyerang pembangkang, 'by default' (kegagalan ini menyebabkan) kita akan kalah dan jangan ambil mudah media sosial berkenaan. Ini tanggungjawab saudara untuk melawan dan membetulkan kepalsuan ini," katanya.
Isyarat yang diberikan Perdana Menteri ini jika diamati, bukan hanya ditujukan kepada pengamal media baru dan media sosial, bahkan juga kepada semua anggota Umno bagi menentukan hala tuju parti untuk menang pada pilihan raya umum akan datang, terutamanya di negeri-negeri yang kini dikuasai pembangkang.
Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang berkata amanat khas Presiden parti kepada sayap Pemuda dan Puteri Umno turut menyentuh mengenai strategi untuk menawan negeri-negeri di mana BN kalah, serta usaha mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum lepas.
Mengenai isu ini, Ketua Pembangkang Selangor Datuk Satim Diman berkata Umno dan BN negeri akan terus menyerang kerajaan negeri yang didakwa banyak melakukan pembohongan dan janji-janji pilihan raya yang tidak ditunaikan.
Beliau berkata serangan terhadap kerajaan parti pakatan di Selangor bukan sekadar retorik politik semata-mata tetapi berlandaskan isu-isu yang disusun satu persatu.
"Kita tak akan berhenti. Kita akui memang banyak lagi isu akan kita bangkitkan. Selagi belum pilihan raya selagi itulah kita akan terus menyerang," katanya.
Satim berkata pengamal media yang ada termasuk media sosial baru juga perlu berperanan menyiarkan apa yang benar dan memaparkan satu per satu kelemahan pihak-pihak yang menyerang Umno dan BN.
Katanya Umno dan BN yang kini mempunyai banyak anggota dan penyokong di kalangan muda mahir dalam pelbagai selok belok IT termasuk media sosial dan media baru, serta mampu berhujah dengan berdasarkan fakta seharusnya dapat menguasai senjata baru ini untuk menewaskan lawan.
Kini, satu aspek menarik yang ingin dilihat ialah sama ada Umno selepas perhimpunan agung pada 29 Nov hingga 3 Dis ini mahu terus dilihat hanya mampu bertahan atau melangkah berani menyahut seruan Najib dengan menyerang balas dan mendedahkan sudut pandangan rakyat kepada kebenaran.
Kesepaduan pendapat dan pendirian Umno serta semua anggota BN dalam hal ini akan memberikan taring baru kepada harimau bernama BN yang sedang tidur, atau sedar daripada lena yang panjang sehingga lalat dan langau pembangkang sesuka hati menghurung kepala!-22/11/2011 -Bernama