Malaysia perlu menyediakan lebih ramai pakar dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat untuk menangkis serangan penggodam terhadap sistem pengkomputeran negara.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, apa yang berlaku lebih dua bulan lalu di mana 119 laman web terutama milik kerajaan digodam tidak harus dipandang remeh dan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan kejadian sama berulang.
"Kita perlu mempunyai lebih ramai pihak yang mahir dan pakar dalam bidang programming, software engineering, isian komputer dan peralatan yang menjadi benteng kepada sesebuah sistem tersebut.
"Di negara-negara maju mereka sedang mewujudkan satu alat dinamakan super komputer di mana dengan alat ini mereka boleh menggodam dan menjahanamkan sistem komputer sesebuah negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan lembu korban bagi parlimennya, di Jelebu hari ini.
Rais berkata, jika negara tidak bersedia dengan kepakaran dalam bidang tersebut, sistem pengkomputeran negara akan terdedah dan mudah digodam sehingga boleh memusnahkan negara.
Katanya, dalam hal ini, masyarakat Malaysia tanpa mengira ideologi politik perlu bersatu dan bermuafakat bagi menghadapi serangan pihak-pihak luar menerusi alam siber ini.
"Kita tidak boleh mengambil ringan, soal sistem alam siber ini kita mesti bersatu dan ini kita dapat lihat hasilnya nanti apabila ada orang yang cuba menggodam sistem kita ini nanti,” katanya.