Ahad, 27 November 2011

Ahli Politik Disaran Pegang Teguh Konsep Wasatiyyah

Ahli politik harus berpegang teguh kepada prinsip Wasatiyah yang berasaskan keadilan dan keseimbangan melalui ucapan dan tindakan, kata Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar hari ini.
“Ahli-ahli politik tidak harus mengorbankan keadilan dan keseimbangan kerana hanya mahu mengejar undi dari kaum atau kumpulan tertentu untuk meraih sokongan bagi mencatat kemenangan dalam pilihan raya.


“Bagi mereka, kuasa politik mendahului segala-galanya. Matlamat menghalalkan cara,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyah dan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO dan  Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Dr Chandra yang juga Profesor Pengajian Global Universiti Sains Malaysia berkata rakyat dan kerajaan Malaysia harus  mendukung serta mengamalkan konsep Wasatiyah melalui gagasan 1Malaysia.
“Inilah kunci kejayaan negara. Inilah rahsia keamanan dan keharmonian kaum serta kestabilan masyarakat kita,”  katanya.
Namun begitu, kata Dr Chandra, Malaysia menghadapi dua cabaran untuk mengamalkan konsep Wasatiyah iaitu daripada segi kemajuan ekonomi dan kebebasan hak asasi manusia.
Beliau juga  berkata kerajaan yang lebih cenderung kepada isu ketenteraman awam berbanding dengan hak asasi manusia perlu diatasi.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sedang berusaha mengimbangi keadaan ini melalui transformasi yang  diketengah beliau di mana Pelan Transformasi Ekonomi bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan melalui perubahan-perubahan yang diketengahkan oleh beliau ke atas undang-undang tertentu di bawah Pelan Trasformasi Politik,” katanya.
Sementara itu, Dr Chandra menyarankan golongan cendekiawan, tokoh agama, profesional, ahli perniagaan, pentadbir,  pengurus, pemimpin kesatuan pekerja dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) membuktikan kesetiaan mereka pada prinsip keadilan dan keseimbangan.
“Golongan cendekiawan mempunyai tanggungjawab besar memerangi pemikiran sempit dan berat sebelah yang bukan sahaja  menjejaskan keadilan tetapi menyemarakkan unsur perkauman dan cauvinisme dalam masyarakat,” katanya.
Dr Chandra berkata media lama mahupun baru mesti sedia memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran khalayak  tentang kepentingan keadilan yang seimbang dalam konteks masyarakat berbilang kaum.
“Media perlu gambarkan kecenderungan yang seimbang antaranya daripada cara membahaskan isu tertentu. Jangan  pentingkan kedudukan golongan tertentu.
“Kerajaan perlu tingkatkan pendekatan kepada masyarakat bagi betulkan persoalan kerajaan kurang adil. Sekiranya semua  golongan masyarakat, kerajaan, NGO atau sesiapa sahaja sedia ambil main peranan bagi memastikan Wasatiyyah jadi realiti,” katanya.
Dr Chandra memberi amaran agar ‘jalan tengah’ tidak harus disamakan dengan konsep Wasatiyah untuk mewajarkan dan menghalalkan penyelewengan tertentu umpamanya, rasuah atau penipuan, iaitu, merelakan sedikit rasuah asalkan perbuatan itu tidak ekstrem.
“Ada yang kata sikit rasuah atau sikit salah kuasa tidak mengapa, Wasatiyah tidak boleh disalahgunakan untuk  menghalalkan perbuatan yang jelas haram daripada segi agama,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...