Translate

19/09/2011

Zuhairi masih boleh bermain bersama pasukan T-Team


MARANG - Masih ada harapan buat pemain skuad Piala Presiden T-Team, Zuhairi Ahmad yang hilang lima jari tangan kanan akibat tersepit pada mesin pengisar tebu 7 Ogos lalu.

Biarpun tanpa jari, tetapi dengan dua kakinya, Zuhairi, 21, masih boleh bermain untuk pasukan itu jika mempunyai keupayaan dan berita gembira daripada pihak pengurusannya melegakan kepedihan yang dialami.


Perkhabaran gembira itu dimaklumkan pengurusnya, Mohd. Sukanther Abdul Hamid yang ditemui bersama jurulatihnya, Yusuf Ali ketika mengunjungi Zuhairi di rumahnya di Kampung Baru, Rhu Muda, Marang semalam.

Menurut Mohd. Sukanther, jika kecederaan fizikal yang menimpa Zuhairi tidak menjejaskan prestasi remaja itu ketika beraksi, dia masih boleh bermain dengan pasukan tersebut atau mana-mana kelab lain yang dia mahu.

Katanya, pihaknya memberi jaminan Zuhairi tidak akan digugurkan kerana kecacatan yang dialami, namun perlu menjalani prosedur biasa yang dilalui oleh rakan-rakan yang lain iaitu pemilihan di peringkat pengurusan.

"Sama ada dia akan diterima untuk bermain untuk musim seterusnya ia bergantung kepada pengurusan baru kelak, bagi saya dia masih boleh bermain untuk pasukan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.
Pada kunjungan itu, Mohd. Sukanther juga berjanji akan membantu Zuhairi dari segi kewangan melalui tuntutan insurans yang sedang dalam proses permohonan pihaknya.

"Bagi pihak pengurusan kita mohon maaf kerana lewat membayar gaji perlawanan lalu dan kita akan berusaha agar tuntutan insurans itu dapat diperolehi bagi meringankan beban keluarga Zuhairi untuk menanggung kos perubatannya," jelasnya.

Dalam pada itu, Yusuf berkata, melihat kepada kesungguhan Zuhairi bermain pada musim lalu, dia akui remaja itu mampu bermain dengan baik sejak menyertai pasukan terbabit tiga tahun lalu.

Namun, ujarnya, dia perlu menunjukkan komitmen yang lebih baik jika mahu dipilih untuk saingan musim depan.

"Jadual musim baru difahamkan akan bermula pada Februari tahun depan dan kita akan buat pemilihan pada Disember ini.

"Sama ada Zuhairi layak atau tidak kita akan lihat pada pemilihan itu nanti," jelasnya.

Sementara itu, kesakitan yang ditanggung oleh Zuhairi nyata terubat dengan berita gembira itu apabila dia melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan yang masih memberi peluang kepadanya untuk beraksi.

"Saya rasa sangat bertuah dan berjanji akan pamerkan persembahan terbaik dalam pemilihan itu nanti," jelasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...