Translate

24/09/2011

Seramai 13 Anak Terengganu Terima Anugerah Tokoh Kemerdekaan


Seramai 13 anak kelahiran Besut yang berjaya dalam kerjaya masing-masing di peringkat nasional dan antarabangsa telah terpilih menerima Anugerah Tokoh Kemerdekaan sempena Program Semarak Merdeka peringkat daerah Besut yang akan berlangsung esok (Sabtu) di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh berkata mereka dipilih oleh jawatankuasa pemilih khas berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing hingga mengharumkan nama negara dan Terengganu.
Beliau yang juga Penaung Program Semarak Merdeka berkata antara penerima anugerah itu ialah Penasihat Khas (Felda) kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, bekas Ketua Hakim negara, Tun Salleh Abas, bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Rodzali Daud.
Selain itu, lain-lain penerima termasuklah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Datuk Dr Alias Daud, Pengarah Urusan Maswing Holding Datuk Kapten Mohd Nawawi Awang, Timbalan Pengerusi Paremba, Datuk Hassan Abas dan Ahli Politik Veteran Datuk Abu Bakar Ahmad, katanya pada sidang media di sini Jumaat.
Turut terpilih ialah Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd Mohd Nasir Hamzah, Pengarah bukan Eksekutif Amcorp Properties Berhad Datuk Che Md Nawawi Ismail, pejuang kemerdekaan yang juga seorang bekas polis Jannah Hassan, pemenang tempat ketiga Tilawah Al-Quran Antarabangsa Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi dan penggiat seni Md Saupi Isa yang popular dengan watak Wok Yoh wayang kulit.
Idris berkata mereka akan menerima anugerah tersebut pada perhimpunan Semarak Merdeka di hadapan 15,000 peserta perarakan di Dataran Jerteh Souq bandar Jerteh pada 9 pagi.
Sebagai tanda pengiktirafan, seramai 77 bekas anggota polis yang bertugas semasa zaman darurat yang bertugas sebagai anggota Home Guard (HG) akan turut menerima hadiah pada majlis itu nanti, katanya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...