Translate

07/09/2011

JPA selesai kes balu polis tidak terima pencen dalam seminggu

ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyelesaikan kes seorang balu anggota polis yang tidak pernah menerima pencen semenjak kematian suaminya pada 1962 dalam tempoh seminggu.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) JPA, Datuk Yeow Chin Keong, berkata walaupun kes berkenaan sudah lama, namun ia tidak menjadi masalah kerana rekod perkhidmatan anggota polis berkenaan, Syed Omar Syed Yasin boleh disediakan semula. "Kita akan usahakan juga untuk sediakan semula rekod berdasarkan dokumen asal dan temuramah dengan balunya.

Proses ini dijangka selesai dalam seminggu dan bayaran boleh dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas itu. "Apa yang perlu dibuktikan ialah perkhidmatan, tahap gaji serta jawatan dia sewaktu bertugas dan juga buktikan pertalian balu dan arwah," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga balu anggota polis berkenaan, Sharifah Aminah Syed Ali, 83, di kediaman mereka di Taman Nakishah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes terbabit, Sharifah Aminah layak menerima tunggakan bayaran pencen terbitan bermula 1 Januari 2002 kerana dia berkahwin semula kira-kira enam tahun selepas suaminya, Syed Omar meninggal dunia.

Yeow berkata, buat masa ini pihaknya masih belum dapat menganggar jumlah pencen yang bakal diterima Sharifah Aminah kerana proses perkiraan perlu dibuat selepas JPA siap melengkapkan rekod perkhidmatan Syed Omar.

Semalam, Bernama menyiarkan laporan mengenai Sharifah Aminah, balu kepada seorang anggota polis yang mendakwa tidak pernah menerima pencen sejak kematian suaminya itu kira-kira 50 tahun lalu.

Sharifah Aminah yang kini semakin uzur dan mengalamai masalah kesihatan berharap supaya dipertimbangkan permohonan untuk mendapatkan imbuhan kerana sejak kematian suaminya itu dia hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800.

Sementara itu, Yeow turut menyeru kepada mana-mana balu yang mempunyai kisah yang sama seperti Sharifah Aminah supaya tampil memaklumkan perkara berkenaan kepada JPA.

"Memang niat kerajaan untuk bayar pencen kepada semua balu yang suaminya pernah berjasa kepada negara... namun sekiranya mereka tidak muncul, kita tidak dapat bantu mereka dan jika kes terlalu lama pun, jangan putus asa, kita boleh siasat," katanya.

Pada pertemuan itu, Yeow turut mengucapkan penghargaan kepada wartawan Bernama kerana menyiarkan kisah balu terbabit, sekaligus membantu JPA untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Sharifah Aminah ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata, dia sangat terharu dengan perhatian JPA dan bersyukur kerana masalahnya akan berakhir selain turut berterima kasih kepada pihak media yang membantu menyiarkan kisahnya. - BERNAMA 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...