Translate

22/08/2011

Gagal dapat biasiswa, pelajar saman Khazanah

Image Detail

KUALA LUMPUR: Setelah hajat melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge dengan biasiswa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak kesampaian, seorang pelajar kelmarin menyaman syarikat milik kerajaan (GLC) itu dan tiga yang lain.

Encik Chan Xian Yao, anak lelaki seorang peguam mendakwa telah ditawarkan tempat di Universiti Cambridge bagi mengikuti kursus peringkat sarjana dalam jurusan Kejuruteraan Kimia yang akan bermula pada Oktober ini selama empat tahun.



Dalam pernyataan tuntutannya, Encik Chan menyatakan, beliau merupakan pelajar pintar dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat A di seluruh Malaysia dengan markah penuh dalam subjek Kimia dan Fizik.

Encik Chan, 18 tahun, menamakan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarahnya, Encik Azman Mohd Hussein; Khazanah dan Yayasan Khazanah sebagai defendan pertama hingga keempat.

Saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan melalui firma guaman bapanya, Tetuan Chan Chow Wang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini.

Encik Chan, selaku plaintif, mendakwa telah ditemu duga oleh panel profesor dari Universiti Cambridge sebelum ditawarkan tempat di situ.

Encik Chan menyatakan, beliau memohon biasiswa daripada Khazanah-Cambridge Scholarship tetapi yayasan itu kemudiannya memaklumkan menerusi e-mel bahawa permohonannya tidak berjaya tanpa memberikan sebarang alasan.

Selepas mengemukakan rayuan melalui ibu bapanya, plaintif, berkata beliau menerima satu e-mel yang mengatakan beliau dalam senarai pendek dan dikehendaki membuat penilaian secara dalam talian (online) sebagai syarat pemilihan.

Namun, defendan dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Jun lalu menyatakan, hanya tiga pemohon telah diberi biasiswa tanpa memberi maklumat para pemohon seperti nama, kursus atau keputusan akademik mereka, katanya.

Justeru, plaintif mendakwa, pihak defendan tidak menjalankan proses pemilihan yang betul dan adil sebelum menolak permohonannya selain tidak telus hingga mengakibatkan beliau merasa malu dan tekanan perasaan.

Sehubungan itu, plaintif memohon perintah perisytiharan bahawa pemberian biasiswa kepada tiga penerima tersebut diisytiharkan batal dan tidak sah selain memohon penubuhan sebuah jawatankuasa pemilihan bagi membuat penilaian terhadap pemohon-pemohon berdasarkan merit.

Secara alternatif, plaintif turut memohon pampasan kerana merasakan dirinya telah dimalukan selain tekanan perasaan yang dialaminya. -- Utusan Malaysia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...