Lima Konstabel Polis didakwa merompak 16 warga Bangladesh.
KUALA LUMPUR: Lima anggota polis berpangkat Konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan 16 warga Bangladesh sejumlah wang tunai RM34,516, pada 8 Ogos lalu.
Mohd Afizi Mohd Nasir, 27; Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21; Azrin Adha Abdullah, 25; Mohd Faiz Muhammad, 25; dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20; didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di rumah No 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di sini, pada jam 12.01 pagi.
Kesemua tertuduh yang bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit pekerja buruh binaan itu.
Pertuduhan ke atas kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan mereka adalah penanggung tunggal keluarga.
"Saya juga merayu di bulan Ramadan yang mulia ini supaya kesemua mereka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bersama keluarga," katanya.
Hakim Zulhazmi Abdullah, membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September ini untuk sebutan.
Kesemua tertuduh membayar wang jaminan itu. - BERNAMA