Translate

28/07/2011

MOSTI Labuh Tukun Tiruan Di Taman Laut Pulau Perhentian

View Image

BESUT, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melabuhkan lapan unit tukun tiruan berhampiran kawasan Taman Laut Pulau Perhentian sebagai usaha meningkatkan pembiakan ikan dan hidupan laut sebagai sumber ekonomi penduduk untuk jangka masa panjang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata usaha melabuhkan Tukun Inovasi Mesra Alam yang dilaksanakan di bawah Program Tapmosti@Community itu merupakan yang ketiga dilakukan di negara ini selepas kawasan perairan Pulau Sapi, Sandakan dan Pulau Sebatik, Tawau, Sabah.

Katanya tukun tersebut mengandungi bahan seramik yang tidak mencemarkan perairan dan alam sekitar kerana bahan yang digunakan paling sesuai dijadikan sebagai batu karang tiruan berdasarkan sifat bahan seramik yang tidak bertindak balas dengan persekitaran dalam apa juga keadaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis melabuhkan tukun-tukun berkenaan yang dilakukan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar di sini Selasa.

Menurutnya lagi, pembangunan tukun tiruan tersebut dijayakan oleh Sirim Berhad sebuah agensi di bawah MOSTI yang dihasilkan melalui penyelidikan teknologi seramik dan kaca.

Katanya, kos pemasangan tukun tersebut adalah sebanyak RM50,000.

Dr Sharifah Zarah menambah reka bentuk tukun di Pulau Perhentian yang berbentuk piramid itu agak berbeza sedikit dengan tukun yang telah dilabuhkan di Sabah bagi menyesuaikan dengan perairan di sini tetapi bahan kandungan yang digunakan adalah sama.

Beliau menjangka dalam tempoh satu setengah bulan hingga dua tahun lagi, alga dan tumbuhan yang menjadi makanan ikan dan hidupan laut akan mula tumbuh pada tukun-tukun itu yang dijangka akan menjadi kawasan ikan berkumpul mencari makanan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...