Translate

08/07/2011

91 individu dilarang hadiri perhimpunan - Tahniah KPN

View Image

KUALA LUMPUR: Sembilan puluh satu individu daripada tiga kumpulan, iaitu BERSIH, PERKASA dan Pemuda UMNO dilarang berada atau mengambil bahagian dalam apa-apa perhimpunan di semua lokasi panas di ibu kota antara jam 8 pagi hingga 6 petang Sabtu ini. 

Arahan itu dikeluarkan Polis Kuala Lumpur selepas mendapat perintah mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Antara yang tersenarai ialah Datuk S Ambiga, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, Khairy Jamaluddin dan Datuk Ibrahim Ali.

Enam puluh enam daripada mereka adalah daripada BERSIH, PERKASA (14) dan Pemuda UMNO (11). 

Antara lokasi panas itu ialah sekitar Dataran Merdeka, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Jamek Jalan Tun Perak, Sogo, Maju Junction, Istana Negara, Pasar Seni dan KLCC. 

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata permohonan mahkamah dibuat selepas siasatan dan risikan polis mendapati kehadiran individu terbabit boleh menimbulkan suasana tegang hingga boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa. 

Jika ingkar perintah ini, polis mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana individu terbabit selama enam bulan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan. Perintah itu sudah dihantar ke alamat rumah semua 91 individu terbabit hari ini,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau turut menegaskan larangan terhadap apa juga pakaian atau logo BERSIH 2.0 masih berkuat kuasa dan sesiapa yang menggunakannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Polis. 

Pada sidang media itu, polis juga turut mengumumkan penutupan beberapa jalan utama sekitar ibu kota bermula jam 12 tengah malam ini sehingga jam 10 malam esok kepada semua kenderaan, termasuk pengangkutan awam. 

Orang ramai yang tidak mempunyai sebarang urusan penting dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan larangan itu serta mematuhi segala peraturan ditetapkan, manakala penduduk di kawasan terbabit boleh memaklumkan perjalanan mereka kepada pegawai polis bertugas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...