KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Talian Hayat untuk Gaza (LL4G) sekali lagi akan berjuang bersama lebih 600 NGO yang terdiri dari pelbagai negara, bangsa dan agama dalam Misi Kemanusiaan "International Freedom Flotilla 11" ke Gaza pada hujung bulan ini.
Pada tahun lepas, seramai 12 sukarelawan Misi ke Gaza (LL4G) dari Malaysia dan dua krew televisyen Astro Awani yang berada atas kapal Mavi Marmara telah diserang tentera Israel ketika misi kemanusiaan menghantar bantuan untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Pengasas dan Presiden LL4G, Dr Noorazman Mohd Shamsuddin berkata misi pelayaran kemanusiaan ini bakal disertai oleh 13 buah kapal antarabangsa iaitu terdiri daripada 10 buah kapal penumpang dan tiga kapal kargo akan belayar bersama-sama dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Pelayaran pada kali ini akan diketuai oleh NGO dari Eropah, Greece, Sepanyol dan Ireland sebagai penggerak dan telah bersetuju melancarkan Flotilla kedua ini yang merupakan misi terbesar berbanding tahun lepas dan disokong oleh Malaysia dan Turki," katanya.
"Pada Jumaat lepas, sebuah kapal dari Scotland telah berlepas, akan bertemu pada satu titik di Laut Mediterranean yang dijangka tiba pada 27-28 Jun ini," katanya pada sidang media mengenai pelancaran dan perlepasan pasukan LL4G Malaysia untuk International Freedom Flotilla (FF) II ke Gaza, di sini Selasa.
"Kita menjangkakan lebih 1,000 orang sukarelawan akan terlibat dan bertindak sebagai satu Flotilla."
Dr Noorazman berkata seramai 10 orang sukarelawan termasuk anggota Parlimen dan media akan turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan itu yang dijangka berlepas ke Gaza pada 24 Jun.
"Ahli parlimen yang akan turut serta adalah dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Senarai nama media dan ahli Parlimen akan dimaklumkan di majlis upacara pelepasan pasukan LL4G pada Sabtu ini di DBKL," katanya.
Dr Noorazman berkata pihaknya masih memerlukan RM300,000 untuk membiayai keperluan seperti peralatan hospital, bahan-bahan pendidikan, serta barangan pembinaan asas yang diperlukan dalam pembinaan semula bangunan untuk penduduk Gaza dalam misi tersebut.
"Setakat ini dana terkumpul adalah sebanyak RM450,000 dan kami masih mengharapkan sekiranya ada pihak korporat atau individu membantu menghulurkan bantuan dan menaja pembelian peralatan yang diperlukan dalam misi kali ini.
"Kepada badan korporat dan individu yang menghulurkan sumbangan, kita akan dapatkan pelepasan cukai kepada mereka. Selain itu juga pasukan sukarelawan Malaysia juga akan diberi pendedahan iaitu 'mind setting' dan beberapa latihan bagi menghadapi kecemasan atas aspek keselamatan pada hari Ahad ini," katanya.
Sumbangan boleh disalurkan melalui Maybank Berhad atas nama Muslim Care (Viva Palestin), dengan nombor akaun 564490211159.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan upacara pelepasan pasukan LL4G pada Sabtu ini di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Antara NGO Malaysia lain yang akan menyertai misi pelayaran ini adalah Pertubuhan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Yayasan Amal Malaysia, PCP2-Aman Palestin dan Cakna Palestin dan diketuai oleh Muslim Care Malaysia .
Dr Noorazman berkata misi kali ini bertemakan 'Pertahankan Kemanusiaan' atau 'Stay Human' adalah misi yang bergerak berdasarkan prinsip keamanan dan mematuhi seluruh undang-undang antarabangsa termasuk semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Sukarelawan akan diperiksa oleh Peguatkuasa PBB bagi memeriksa isi kapal dan sukarelawan yang berada di atas kapal, dan jika ada sukarelawan yang disenaraihitamkan, sila maklumkan dan mereka akan dikeluarkan daripada menyertai misi ini.
"Sekiranya masih ada lagi pemeriksaan di tengah laut daripada PBB masih dibenarkan tetapi setakat ini kami tidak mengizinkan penguatkuasa dari pihak Israel naik, hanya penguatkuasa PBB, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) atau sebagainya dibenarkan untuk melakukan pemeriksaan," katanya.