KUALA LUMPUR 27 Jun – Ancaman terhadap keselamatan negara melalui gerakan komunis yang kini meresapi demonstrasi haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berada pada tahap membimbangkan.
Ini kerana, gerakan tersebut yang diketuai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dikesan bersekongkol dengan ejen asing dari Filipina dan Korea Selatan untuk menyebarkan propaganda jahat bagi menggulingkan kerajaan.
Hakikat itu terbukti selepas sekumpulan 29 ahli PSM bersama seorang lelaki Filipina, Romeo Castillo, 59, dan seorang warga Korea, Min Young Song, 24, ditahan di hadapan Kolej Matrikulasi di Ledang, Johor, Sabtu lalu.
Sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, kedua-dua warga asing itu memasuki negara ini atas pembiayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing, yang berpangkalan di luar negara bagi memastikan Malaysia huru-hara.
“Kita tidak menolak kemungkinan Castillo ini mempunyai kaitan dengan Parti Komunis Filipina yang banyak membunuh rakyat negara itu melalui gerakan bersenjata sehingga disenarai sebagai gerakan pengganas.
“Young Song ini pula yang memasuki Malaysia sejak 19 Mac lalu merupakan ahli pertubuhan 18 Mei, di Korea, dan dia hadir atas tajaan National Democratic Institute (NDI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
‘‘Warga Korea itu kini ditahan di bawah Akta Imigresen dan akan diusir serta-merta.
“Kini semuanya jelas bahawa Bersih sebenarnya terlalu kotor, mereka bukan lagi berjuang untuk sistem pilihan raya yang adil tetapi sebenarnya bertujuan untuk memusnahkan keamanan negara,” katanya.
National Democratic Institute adalah salah sebuah organisasi di bawah National Endowment of Democrasy (NED) yang dinaungi bekas Setiausaha Negara AS, Madeline Albright, iaitu sekutu Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika zaman reformasi.
Semalam, 31 penyokong Bersih yang diketuai pemimpin PSM, Dr. Jeyakumar Devaraj ditahan dan polis menemui baju T tertera gambar pemimpin komunis yang diangkat sebagai ‘kesatria’.