Translate

02/06/2011

Keprihatinan terhadap nelayan pantai - tahniah Datuk Noh Omar


KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Bernama) -- Semua nelayan dan awak-awak yang mendapat elaun sara hidup RM200 sebulan, akan diberi lesen sampan secara automatik mulai esok, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata lesen akan dikeluarkan kepada pemilik sampan dan kad nelayan kerana kerajaan berhasrat menolong awak-awak yang ingin menjadi nelayan.

"Mereka (nelayan) ini dah ada sampan, ada kad nelayan dan menerima elaun sara hidup RM200 sebulan, maka kalau mereka datang, kita bagilah lesen," katanya selepas menyampaikan elaun sara hidup kepada nelayan Kuala Terengganu selatan hari Khamis.

Ketika ini, seramai 15,900 nelayan pantai di seluruh negara memiliki lesen berkenaan.

Sementara itu, Noh berkata kementerian sedang merangka skim insurans bagi membantu nelayan mendapat faedah ketika mereka ditimpa kesusahan.

Beliau berkata skim itu sudah dipersetujui Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan akan dibawa ke kabinet bagi mendapat kelulusan sebelum ia dilaksanakan Ogos ini membabitkan kira-kira 70,000 nelayan yang menerima elaun sara hidup.

"Perkara ini boleh dilaksanakan kerana kita potong hanya RM10 melalui elaun bulanan yang nelayan perolehi RM200 setiap bulan.

"Antara faedahnya ialah khairat kematian, bencana alam, kemalangan, lumpuh atau kecacatan kekal," katanya sambil menambah nelayan yang ditemuinya rata-rata bersetuju skim itu dilaksanakan.

Noh berkata LKIM kini meneliti beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan insurans termasuk AgroBank.

"Kita akan memilih syarikat yang memberi tawaran yang terbaik bagi skim insuran untuk nelayan ini," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...