PETALING JAYA: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir mendakwa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai ini merupakan sesuatu yang bertentangan dengan nilai dan etika Islam.
Menurut Aziz usaha untuk mengadakan perhimpunan itu adalah percubaan pemimpin bagi menguji pengaruh sehingga sanggup mengheret rakyat ke kancah kemelut politik yang lebih besar.
Aziz berkata selain daripada percubaan itu, beliau mendakwa pemimpin sedemikian hanya berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar.
“Desakan mereka agar mengadakan dialog yang lebih baik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil adalah suatu helah yang cuba mengheret rakyat ke kancah kemelut politik yang lebih besar.
“Usaha itu merupakan percubaan pemimpin tersebut untuk menguji pengaruh, dan kerana itu sanggup menipu lebih ramai rakyat kononnya, sistem yang pernah memberikan kemenangan kepadanya dulu dan sedikit peluang berkuasa sebagai tidak boleh dipertahankan, ia perlu dirombak dan diberikan jaminan baru sesuai dengan keperluan mereka.
“Pemimpin sedemikian merupakan orang yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar. Mereka berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar.
“Jika ditangkap atas tuduhan merancang dan mengetuai rusuhan, namanya akan menjadi lebih besar walaupun imej tersebut sebenarnya dicipta dalam semangat anarkisme dan bertentangan dengan sifat-sifat keinsanan yang dibentuk oleh Islam melalui perantaraan kemurnian akhlak.
“Rakyat bukan sahaja tidak sepatutnya menyokong anarkisme yang ingin dibawa oleh pemimpin tersebut, kerana ia akan menimbulkan lebih banyak keburukan dan konflik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya wujud pendapat umum seolah-olah merusuh di jalan raya adalah untuk membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara sebagai natijah daripada prinsip demokrasi.
Maka ujar beliau, usaha Bersih untuk menganjurkan perhimpunan jalanan adalah satu bentuk anarkisme yang kembali dibudayakan dalam masyarakat Malaysia.
“Pali pertama dianjurkan pada 2007 dengan membawa alasan dan mesej sama, iaitu agar bakal berlangsungnya pilihan raya yang adil dan bersih. Makna sebuah pilihan raya yang bersih dan adil tidak dapat kita temui dalam pensyaratan yang ditetapkan oleh kelompok terbabit.
“Sebaliknya, apa yang berlaku dalam perhimpunan pertama dahulu adalah kata-kata kesat, maki hamun dan seterusnya menghasut masyarakat agar membenci kerajaan yang memerintah,” kata beliau.
Anarkisme adalah haram
Aziz berkata pemimpin pembangkang yang beranggapan wujudnya tsunami politik pada pilihan raya 2008 lalu dilihat angkuh sehingga mengekalkan momentum perarakan jalanan dan perhimpunan rakyat.
Beliau mendakwa dengan kedudukan yang dianggap kuat oleh pembangkang itu, maka mereka akan melakukan provokasi dan propoganda terhadap semua sistem yang dikekalkan pemerintah sedia ada.
“Dalam Islam, ciri-ciri perjuangan yang bersifat anarkisme tidak sesuai dengan tuntutan agama, malah diharamkan sama sekali kerana ia akan memudaratkan baik secara fizikal ataupun psikologi.
“Dengan berbuat demikian, perjalanan urusan harian di kawasan terbabit akan terganggu manakala rempuhan orang ramai akan menyebabkan terhentinya kegiatan ekonomi,” jelas beliau.